HULU LANGAT: Penduduk yang terjejas banjir dan tinggal di lima buah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini mula pulang bagi membersihkan rumah masing-masing hari ini.
Bagaimanapun, rata-ratanya memaklumkan hanya kembali sementara ke rumah bagi tujuan tersebut sebelum memastikan keadaan benar-benar selamat untuk terus pulang.
Penduduk Kampung Sungai Serai, Norsila Zulkamal, 54, berkata, anak-anak dan suaminya sudah mula mengemas, memeriksa dan membaiki barangan elektrik yang masih boleh digunakan.
Katanya, kerugian yang dialami dianggarkan antara RM2,000 hingga RM3,000 termasuk pakaian dan beberapa perabot rumah yang terjejas.
“Kami fokus untuk baiki barangan elektrik yang masih boleh digunakan, selebihnya baru dikemas dan disusun semula.
“Mujurlah kereta kami sempat alihkan sebelum air naik lebih tinggi, jadi dapatlah mengelak daripada mengalami lebih banyak kerugian berbanding kejadian banjir sebelum ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu, penduduk Dusun Nanding, Suhaina Mamat Mokhtar, 48, memberitahu dugaan diterimanya ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila haiwan peliharaannya gagal ditemui.
“Hampir keseluruhan barangan dalam rumah rosak. Perabot dan barangan elektrik tak dapat digunakan lagi. Anggaran dekat RM5,000.
“Semua tak sempat diselamatkan sebab suami tiada di rumah ketika air naik. Saya tak mampu angkat televisyen, peti ais dan sofa ke tempat lebih tinggi.
“Tetapi, ketika kejadian, saya dan anak hanya sempat mengemas barang-barang penting, cuma tak jumpa kucing peliharaan kami. Sampai sekarang masih tunggu pulang, harap ia selamat,” luahnya. – UTUSAN










