MANCHESTER: Manchester City mengalami kejutan besar di Stadium Etihad apabila tewas 0-2 kepada Bayer Leverkusen dalam saingan Liga Juara-Juara(UCL), awal pagi tadi.
Kekalahan itu sekali gus menamatkan rekod 23 perlawanan tanpa kalah mereka di laman sendiri dalam aksi peringkat kumpulan.
Kekalahan itu turut merencatkan penampilan ke-100 Pep Guardiola dalam UCL bersama City, dengan pasukan bimbingannya kini di tangga keenam kumpulan selepas mengutip 10 mata daripada lima perlawanan sementara Leverkusen yang beraksi cemerlang melonjak ke tempat ke-13 carta keseluruhan kejohanan.
Guardiola membuat 10 pertukaran dengan merehatkan hampir semua tonggak utama pada separuh masa pertama sekaligus keputusan itu yang akhirnya memakan diri.
Pelawat membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi gerakan serangan balas pantas Malik Tillman melorongkan bola kepada Christian Kofane yang menahan kemas sebelum Alejandro Grimaldo melepaskan rembatan kencang menewaskan James Trafford.
City memasukkan Phil Foden, Jeremy Doku dan Nico O’Reilly sebaik babak kedua bermula, namun Leverkusen terus garang dan menambah gol kedua pada minit ke-54 selepas Patrik Schick menanduk bola melepasi Ake dan menewaskan Trafford untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Erling Haaland dimasukkan pada minit ke-65 disambut sorakan gemuruh penyokong tuan rumah, namun mesin gol itu tidak mampu mengubah nasib City.
Peluang terbaik City hadir apabila Haaland berdepan situasi satu lawan satu, namun Mark Flekken tampil cemerlang dengan halangan berani untuk menafikan jaringan.
Flekken turut menyelamatkan percubaan Ake dan Tijjani Reijnders, sekali gus memastikan City gagal memanfaatkan 20 percubaan mereka, termasuk tujuh tepat ke gawang berbanding hanya dua cubaan berbahaya Leverkusen yang menghasilkan dua gol.-AGENSI










