MANCHESTER: Pep Guardiola menarik nafas lega apabila Manchester City akhirnya berpeluang menikmati dua pertengahan minggu tanpa aksi, sesuatu yang dianggap cukup penting dalam usaha menyegarkan semula skuadnya yang keletihan memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kemenangan 3-0 ke atas Fulham, semalam, menyuntik semula keyakinan The Citizens apabila mereka dipisahkan tiga mata dengan pendahulu, Arsenal.
City tidak menunggu lama untuk ‘membunuh’ perlawanan apabila Antoine Semenyo, Nico O’Reilly dan Erling Haaland meledak tiga gol dalam tempoh 15 minit babak pertama, sekali gus meneruskan momentum positif selepas kebangkitan dramatik di Anfield, Ahad lalu.
“Salah satu persembahan terbaik musim ini, terutama selepas pengalaman di Anfield dalam perlawanan penting dan penuh emosi.
“Perlawanan seterusnya sentiasa sukar. Kami bertuah kerana beraksi di laman sendiri,” kata Guardiola.
Menyedari jadual padat yang menekan fizikal pemain, Guardiola tidak teragak-agak melakukan pertukaran awal, apabila Haaland dikeluarkan sebaik sahaja rehat separuh masa, manakala Bernardo Silva dan Rodri turut digantikan pada awal babak kedua.
City ketika ini masih bersaing dalam empat pertandingan dan bakal berdepan Salford dari Liga Dua dalam saingan Piala FA.
Selepas aksi itu, mereka akhirnya memiliki dua minggu tanpa perlawanan pertengahan minggu sebelum kembali fokus kepada aksi liga menentang Newcastle dan Leeds.
“Bernardo penat, Rodri penat. Dia (Rodri) langsung tidak hilang bola pada babak pertama, tetapi babak kedua hilang 10 kali.
“Kami akan menentang Salford, kemudian perlu rehat. Jadual kami sangat mencabar, sama seperti Arsenal dan kami akan ada pertengahan minggu tanpa aksi.
“Musim ini memang berat dengan banyak kecederaan. Selepas Salford, kami perlukan dua, tiga, empat atau lima hari rehat,” ujar Guardiola. – AFP/UTUSAN










