LIVERPOOL: Bernardo Silva menegaskan hanya kemenangan mampu menyelamatkan impian Manchester City untuk terus menekan Arsenal dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Liverpool 2-1 di Anfield, semalam.
City terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan Dominik Szoboszlai pada minit ke-74, namun semangat juang tinggi skuad kendalian Pep Guardiola terserlah apabila Silva muncul penyelamat menyamakan kedudukan pada minit ke-84 untuk menghidupkan harapan pelawat.
Erling Haaland meledak gol kemenangan City pada minit ketiga masa kecederaan bagi menghadiahkan kemenangan sekali gus mencetuskan suasana sunyi di Anfield.
Liverpool hampir mencuri satu mata, namun penjaga gol City, Gianluigi Donnarumma tampil wira dengan melakukan aksi menyelamat luar biasa untuk menafikan percubaan Alexis Mac Allister.
Kekecohan tercetus di penghujung permainan apabila Rayan Cherki menyangka telah memastikan kemenangan City selepas menjaringkan gol ke gawang kosong dari tengah padang, namun jaringan itu dibatalkan susulan insiden tarik-menarik antara Szoboszlai dan Haaland sebelum serangan berlaku.
Szoboszlai akhirnya dilayangkan kad merah selepas pengadil mendakwa pemain Hungary itu melakukan kesalahan pertama dalam insiden berkenaan.
Silva mengakui tekanan besar dihadapi pasukan sebelum perlawanan, namun percaya kemenangan ini mampu mengubah hala tuju musim mereka.
“Dengan jarak mata bersama Arsenal, ini mungkin perlawanan paling sukar buat kami. Kami tahu jika kalah, saingan kejuaraan hampir berakhir.
“Sebab itu kami datang untuk menang dan semua pemain bekerja keras untuk mendapat keputusan ini,” katanya.
Kemenangan bersejarah itu turut mencatat kejayaan pertama City menang di Anfield di hadapan penyokong sendiri sejak 2003, selain melengkapkan kemenangan dua kali ke atas Liverpool dalam satu musim liga buat kali pertama sejak 1937.
“Gembira dengan kemenangan ini, tetapi tiga mata tetap tiga mata. Kami bermula musim ini dengan agak mengecewakan dan sepatutnya boleh berada lebih hampir dengan Arsenal,” ujar Silva. – AGENSI/UTUSAN










