MANCHESTER: Manchester City terus memberi tekanan kepada Arsenal dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menundukkan Newcastle United 2-1 di Stadium Etihad, semalam.
Wira kemenangan sudah tentu Nico O’Reilly yang meledak dua gol pada separuh masa pertama untuk memastikan tiga mata berharga buat skuad kendalian Pep Guardiola.
Guardiola memuji impak pemain muda itu serta ketenangan barisan pemainnya dalam mengharungi tekanan perebutan gelaran.
“Nico beri kami kekuatan fizikal di tengah yang kami perlukan. Dia kini bermain di posisi sebenar.
“Dia masih muda. Saya bangga akademi melahirkan pemain hebat seperti Nico, Phil Foden dan Rico Lewis.
“Perlawanan seperti ini amat sukar. 70 peratus belum pernah berada dalam situasi perebutan sengit sebegini, tetapi mereka menunjukkan karakter luar biasa,” katanya.
City membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 apabila O’Reilly melakukan rembatan kaki kiri padu menewaskan penjaga gol pelawat, Nick Pope.
Namun, Newcastle tidak menunggu lama untuk bangkit apabila Percubaan Lewis Hall yang terkena pemain tuan rumah mengelirukan penjaga gol City, Gianluigi Donnarumma, sekali gus menyamakan kedudukan.
Kebuntuan itu tidak bertahan lama apabila Erling Haaland mempamerkan kualiti sebenar dengan menghantar bola lintang tepat ke arah O’Reilly yang tenang menanduk masuk gol kedua pada minit ke-27.
Gol tersebut menjadi pemisah perlawanan, sekali gus menghadiahkan kemenangan ke-17 berturut-turut City di laman sendiri ke atas Newcastle dalam saingan liga. – AGENSI/UTUSAN










