Latihan TVET kanak-kanak Austisme diperluas melalui konvoi amal

Latihan TVET kanak-kanak Austisme diperluas melalui konvoi amal

HUSSIN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan dan pembangunan kanak-kanak autisme diperkukuh melalui penganjuran program amal Charity Drive to Phuket anjuran Yayasan Pengaman Malaysia bersama British Graduate Association of Malaysia (BGAM), hari ini.

Timbalan Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia, Tan Sri Hussin Ismail berkata, seramai 32 peserta menaiki lapan kenderaan akan memulakan perjalanan ke Phuket, Thailand, sambil melawat beberapa institusi berkaitan autisme di Perak dan Perlis bagi sesi libat urus.

“Kerjasama ini diharap mendapat sokongan masyarakat bagi menggalakkan lebih ramai pihak tampil menyumbang kepada keperluan anak-anak autistik,” katanya selepas majlis pelepasan konvoi di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) di sini, hari ini.

Turut hadir, Komander Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noor Sham Md Jani.

Katanya, lawatan ke Perlis amat signifikan kerana institusi itu menyediakan latihan kepada pelajar berusia 15 hingga 21 tahun dengan penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kami amat menantikan lawatan ke Perlis kerana selain mendidik kanak-kanak kecil, institusi tersebut turut menawarkan latihan profesional selepas umur sembilan atau 12 tahun sebagai persediaan masa depan.

“Matlamat kami ialah memberi latihan dan kemahiran kepada belia autisme agar mereka mampu berdikari, menjana pendapatan sendiri dan berintegrasi bersama komuniti,” katanya.

Mengulas operasi Pusat Jagaan Autisme Pengaman-PDRM, Hussin memaklumkan, pusat itu kini mempunyai 50 pelajar, majoriti dalam kalangan anak-anak anggota PDRM dengan 18 tenaga pengajar bertauliah.

Sementara itu, Presiden BGAM, Datuk Kamarudin Md Ali berkata, kerjasama antara BGAM dan Pusat Autisme Pengaman-PDRM akan diteruskan sehingga tahun hadapan.

“Dalam konvoi amal ini, kami juga ingin memperkenalkan semula Dana Pendidikan BGAM yang dinamakan Dana Pendidikan BGAM Tun Hanif Omar, sebagai tanda penghormatan kepada bekas Presiden kami yang meninggal dunia tahun lalu,” katanya.

Kamarudin berkata, BGAM juga menyokong perancangan Pusat Autisme Pengaman-PDRM untuk memperkenalkan program baharu bagi golongan belia autisme.

“Ini perlu untuk memberi pendedahan kemahiran pengurusan kewangan, meningkatkan keupayaan berdikari dan membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih mandiri,” katanya. – UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×