Kuala Lumpur tingkat kesiapsiagaan banjir

Kuala Lumpur tingkat kesiapsiagaan banjir

FAHMI Fadzil (tengah) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud (kanan) bagi Perasmian dan Flag Off Program Kayuhan Amal Mesra Wilayah Persekutuan 2025 di Kuala Lumpur. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesiapsiagaan menghadapi banjir di ibu negara berada pada tahap lebih tersusun menjelang Monsun Timur Laut yang dijangka membawa peningkatan hujan di kawasan rendah.

Menurut Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil, beberapa lokasi hotspot seperti Kampung Pasir, Segambut khususnya Kuala Lumpur kini menunjukkan tahap penyelenggaraan lebih baik berbanding sebelum insiden banjir besar pada 2021.

“Laporan persiapan telah dibentangkan dalam mesyuarat Parlimen bersama kementerian baru-baru ini, termasuk kawasan-kawasan yang terjejas dalam banjir terakhir,” katanya ditemui di program Kayuhan Amal Mesra Wilayah Persekutuan 2025 Kuala Lumpur di Lembah Pantai di sini, hari ini.

Menurutnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut terlibat di bawah operasi banjir bagi memastikan bantuan kecemasan dapat digerakkan segera apabila diperlukan.

“Selain itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai-balai polis di sekitar Kuala Lumpur telah dilengkapi bot serta peralatan keselamatan untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi menyelamat.

“Tahap kesiapsiagaan di kawasan Lembah Pantai dipantau secara berkala bagi memastikan komuniti setempat berada dalam keadaan siap siaga.

“Penduduk diminta peka dan mematuhi amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia terutama pada permulaan musim cuti sekolah,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman banjir besar 2021 telah meningkatkan kesedaran masyarakat untuk membuat persiapan lebih awal di kawasan berisiko.

Beliau menasihatkan keluarga yang tinggal di kawasan rendah agar merancang pergerakan dan mengelakkan aktiviti yang boleh menyebabkan mereka terperangkap ketika hujan lebat.

Katanya, limpahan air boleh berlaku dalam tempoh singkat dan orang ramai perlu sentiasa mengikuti perkembangan dari Jabatan Meteorologi Malaysia serta agensi keselamatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN