PUTRAJAYA: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bakal menggerakkan seramai 12,927 anggota dan pegawai di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir pada musim Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM, Mohd. Adzhar Mujab berkata, kekuatan itu dibahagikan kepada lima zon utama iaitu Zon Utara seramai 1,757 anggota, Tengah (2,210), Selatan (1,703), Timur (3,108) dan Borneo (4,149).
Menurutnya, persediaan berkenaan turut meliputi kesiapsiagaan aset operasi darat, air dan udara bagi memastikan operasi menyelamat serta pemindahan mangsa dapat dilaksanakan dengan pantas.
“Bagi operasi darat, sebanyak 997 aset termasuk lori dan kenderaan pacuan empat roda (4×4) disediakan bagi memastikan pergerakan anggota, penghantaran bantuan dan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan pantas.
“APM turut menyediakan 895 aset operasi air yang terdiri daripada bot bersaiz besar dan kecil bagi menghadapi kemungkinan peningkatan paras air serta keperluan pemindahan mangsa di kawasan yang dinaiki air,” katanya ketika berucap di Program Sinergi Media MADANI APM 2026 di sini, hari ini.
Katanya, sebanyak 27 dron turut digunakan bagi memperkukuh pemantauan di kawasan berisiko sebelum, semasa dan selepas kejadian banjir.
“Dron ini penting untuk kita buat pemantauan sebelum dan semasa banjir, termasuk melihat bagaimana pergerakan air, sama ada cepat atau lambat.
“Selepas banjir, kita juga akan lihat kesan dan membuat rekod dari udara bagi penambahbaikan pemantauan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Adzhar berkata, persiapan awal penting memandangkan keadaan banjir pada setiap tahun tidak semestinya sama, selain mengambil kira pengalaman banjir besar yang pernah berlaku sebelum ini.
“Setiap banjir setiap tahun ini tidak semestinya sama macam tahun lepas. Kita pernah alami pada 2014 hingga 2016 banjir besar yang menyebabkan sehingga 300,000 mangsa pada masa itu.
“Daripada situ kita memperkemaskan dari semasa ke semasa berkaitan pengurusan banjir di peringkat pusat, negeri dan daerah,” katanya.
Beliau berkata, APM turut memastikan struktur pengurusan bencana di setiap peringkat sentiasa diselaraskan termasuk menerusi mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana pusat, negeri dan daerah.
Katanya, persediaan itu termasuk memastikan logistik berada dalam keadaan baik serta mengaktifkan pusat kawalan operasi bencana bagi membolehkan pemantauan dibuat selama 24 jam.
Dalam pada itu, APM turut memperkukuh kerjasama dengan komuniti setempat, khususnya ketua masyarakat di kawasan berisiko, bagi mendapatkan maklumat awal sekiranya berlaku banjir.
Menurutnya, maklumat daripada ketua komuniti penting bagi membantu pihak berkuasa mengetahui tahap banjir dan keadaan di kawasan masing-masing sebelum tindakan lanjut dibuat.
“Di peringkat daerah dan negeri, kita akan menyelaraskan bersama agensi berkaitan untuk menentukan tindakan yang perlu dibuat termasuk keputusan mengenai pemindahan,” katanya.
Beliau pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat berkaitan cuaca dan MTL daripada sumber rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan tidak bergantung kepada maklumat tidak rasmi di media sosial. – UTUSAN











