Kerajaan teliti maklumat kerugian syarikat konsesi lebuh raya

Kerajaan teliti maklumat kerugian syarikat konsesi lebuh raya

ALEXANDER Nanta Linggi merasmikan Majlis Pelancaran Aplikasi Navigasi Lebuh Raya, Tuju di RnR Seremban arah selatan di Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan akan meneliti maklumat kedudukan keuntungan dan kerugian syarikat konsesi lebuh raya sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan mengenainya kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang besar.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, maklumat yang dibacakan oleh timbalannya di Dewan Rakyat hari ini adalah berdasarkan berdasarkan Laporan Kewangan Berakhir Tahun 2024 yang  dikeluarkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Menurut laporan tersebut, sebanyak 12 syarikat pemegang konsesi lebuhraya mencatatkan kerugian tahun lalu. Namun, data tersebut masih perlu diperhalusi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara faktornya ia memberikan implikasi kewangan besar kepada negara, jadi kita tidak boleh terburu-buru mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Peluncuran Aplikasi Navigasi Lebuh Raya, Tuju, di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban arah selatan,hari ini.

Hari ini, timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan dilaporkan berkata, sebanyak 12 syarikat pemegang konsesi lebuh raya mencatatkan kerugian.

Kerugian itu turut melibatkan konsesi utama termasuk Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 (ANIH Berhad), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (DASH), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Sementara itu, Alexander memberitahu, aplikasi Tuju yang dibangunkan LLM dengan kerjasama syarikat Prosignal Consortium Sdn. Bhd adalah berfungsi sebagai penyampai maklumat perjalanan masa nyata, memberi kawalan serta keyakinan kepada pengguna lebuh raya di seluruh negara.

“Ia dibangunkan bagi memudahkan perancangan perjalanan, menjadi platform bantuan kecemasan yang pantas, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi konsensi lebuh raya.

“TuJu juga berfungsi sebagai inisiatif pintar yang menggabungkan teknologi dan keselamatan bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih mudah, cepat dan selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN