Saksi lihat emel cuba bocor dokumen sulit Petronas

Saksi lihat emel cuba bocor dokumen sulit Petronas

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saksi pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau pernah melihat kandungan emel mengandungi laporan prestasi operasi dan kewangan Petronas yang dihantar oleh bekas Pengurus Kanan syarikat cari gali itu, Mohd. Khairul Akmal Mohd. Jasni kepada pihak luar.

Pengurus Sumber Manusia di Petronas, Suhaidah Labu, 42, memaklumkan, emel mengandungi laporan prestasi operasi dan kewangan suku pertama tahun 2024 Petronas dihantar oleh lelaki berkenaan kepada Datuk Janin Girie dan Mohd. Azha Abdul Jalil.

Janin merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Petroleum Sarawak Berhad (Petros) manakala Mohd. Azha adalah Ketua Pegawai Kewangan Petros.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, emel itu dilihat selepas dihubungi oleh Pegawai Perhubungan Industri (IR), Jumsuri Basri dan Zatil ‘Ismah Azmi ketika mereka ingin mendapatkan pengesahan status perkhidmatan tertuduh.

“Emel tersebut dikemukakan kepada saya oleh Jumsuri Zatil ‘Ismah pada 6 Disember 2024. Mereka telah menghubungi saya bagi mendapatkan pengesahan sama ada Mohd. Khairul Akmal telah meletakkan jawatan atau tidak.

“Ia kerana dalam e-mel tersebut, beliau menyatakan ‘I look forward to joining your team’. Setelah saya menyemak rekod beliau dalam sistem, didapati tiada rekod perletakan jawatan dan beliau masih kakitangan aktif Petronas,” katanya.

Suhaidah menyatakan perkara itu ketika membacakan penyataan saksinya dalam bicara kes melibatkan Mohd. Khairul Akmal, 41 yang didakwa atas dakwaan cuba mendedahkan maklumat dokumen Q1 2024 Upstream Business Performance Operational and Financial Petronas kepada Petros.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan.

Tambahnya, susulan perkara itu, satu Notis Penggantungan Tugas telah dikeluarkan terhadap Mohd. Khairul Akmal bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan tertuduh turut diminta menyerahkan komputer riba syarikat yang didaftarkan atas namanya.

“Saya mengesahkan bahawa saya ada mengambil komputer riba tersebut namun ia bukan dirampas. Mohd. Khairul Akmal telah menyerahkan komputer riba itu secara sukarela selepas penerangan berkaitan Notis Penggantungan Tugas diberikan kepadanya.

“Dalam tempoh penggantungan tersebut, beliau tidak dibenarkan memasuki mana-mana premis syarikat serta tidak dibenarkan mengakses sistem syarikat tanpa kelulusan pihak syarikat,” katanya.

Suhaidah turut mengesahkan bahawa Mohd. Khairul Akmal merupakan seorang pegawai cemerlang yang dikategorikan sebagai ‘Top Talent’ di dalam kalangan warga kerja di jabatan kewangan Petronas.

“Beliau juga mempunyai pengetahuan dan kefahaman mendalam mengenai faktor yang mempengaruhi nilai minyak dan gas serta rantaian nilai gas.

“Gaji sebanyak RM15,000 yang diterima oleh Mohd Khairul Akmal adalah berdasarkan prinsip Ekuiti Dalaman Petronas (Internal Equity) bagi jawatan pengurus,” katanya.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela, Louis Liaw Vern Xien, saksi pendakwaan keenam itu turut bersetuju dengan cadangan bahawa beliau tidak mengetahui secara pasti individu yang menulis dan menekan butang hantar bagi e-mel berkenaan.

Louis: Selepas puan memaklumkan kepada Encik Jumsuri berkenaan bahawa Encik Khairul (tertuduh) tidak ada rekod peletakan jawatan, kemudian siasatan lanjut berkenaan siapa yang hantar emel tersebut adalah di bawah bidang kuasa Encik Jumsuri, betul?
Suhaidah: Benar.

Louis: Puan tidak membuka komputer riba selepas itu untuk menyemak sama ada emel tersebut ada dihantar oleh Encik Khairul, betul?
Suhaidah: Tidak.

Louis: Maknanya apabila puan menyatakan dalam pernyataan saksi bahawa ‘dihantar oleh Khairul Akmal kepada Datuk Janin Girie dan Azha Jalil’, itu puan mengatakan berdasarkan emel yang boleh dilihat dalam eksibit, betul?
Suhaidah: Benar, berdasarkan bukti yang dikemukakan ini.

Louis: Jadi puan lihat emel tersebut dan membuat kesimpulan bahawa ia dihantar oleh Encik Khairul kepada Janin Girie dan Azha Jalil, betul?
Suhaidah: Benar, berdasarkan emel ini.

Louis: Tapi siapa sebenarnya yang menulis emel dan selepas itu menekan send, itu puan tidak tahu lah?
Suhaidah: Ya benar, saya tidak pasti.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid bersambung 18 November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×