KUALA LUMPUR: Petronas mengambil masa kira-kira tiga setengah tahun untuk membangunkan bahan api mampan (ASF) bagi memenuhi keperluan peraturan baharu Formula 1 (F1), termasuk melalui proses penyelidikan, pembangunan teknologi, pengeluaran dan pensijilan yang kompleks.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Seri Sazali Hamzah berkata, tempoh berkenaan merupakan cabaran besar kerana pembangunan bahan api daripada peringkat awal sehingga pengeluaran komersial biasanya memerlukan tempoh yang panjang.
Katanya, keadaan itu menjadi lebih mencabar apabila pembangunan perlu dilakukan serentak dengan pembangunan enjin bagi memastikan bahan api yang dihasilkan memenuhi keperluan prestasi unit kuasa Mercedes.
“Jika bermula dari sifar sehingga pengeluaran komersial, tempoh itu sangat singkat. Namun, dengan kerjasama rapat bersama Mercedes, kami membangunkan enjin dan bahan api secara bersama serta melakukan penyesuaian sepanjang proses pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar Petronas dan Mercedes-AMG Petronas Formula One Team, di sini semalam.
Menurut Sazali, hasil kerjasama berkenaan, bahan api tersebut berjaya disiapkan lebih awal, selain melalui proses ujian bagi memastikan ia memenuhi keperluan yang ditetapkan.
“Pembangunan ASF turut membabitkan pelbagai komponen teknologi dan memerlukan pengurusan projek yang rapi, terutama bagi memastikan kemudahan pengeluaran bahan api dapat disiapkan mengikut jadual.
“Pengurusan projek juga merupakan antara cabaran terbesar kerana kami perlu memastikan apabila membina loji bahan api, semuanya dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Prinsipal Pasukan Mercedes-AMG Petronas F1, Toto Wolff berkata, perubahan rangka kerja unit kuasa F1 akan terus mencabar Petronas dan Mercedes untuk meningkatkan keupayaan teknologi bahan api serta enjin.
Ujarnya, peningkatan aliran bahan api bagi menghasilkan kuasa lebih tinggi memerlukan teknologi bahan api dan unit kuasa terus dioptimumkan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan peraturan.
“Dengan peraturan baharu, pembangunan sentiasa dinamik. Perubahan ini bermakna aliran bahan api yang lebih tinggi untuk menghasilkan lebih banyak kuasa.
“Bahan api yang digunakan hari ini perlu terus berkembang bagi memenuhi perubahan peraturan sambil mengekalkan kelebihan prestasi,” katanya.
Tambahnya, cabaran berkenaan memerlukan Petronas dan Mercedes terus meningkatkan keupayaan masing-masing dalam pembangunan bahan api dan unit kuasa.
Pembangunan ASF mencerminkan pendekatan Petronas dalam menggunakan arena F1 sebagai platform penyelidikan dan pembangunan teknologi bahan api, sebelum pengetahuan serta inovasi yang diperoleh diterjemahkan kepada aplikasi tenaga yang lebih luas.
Kerjasama teknikal bersama Mercedes turut membolehkan pembangunan bahan api dilakukan seiring dengan teknologi enjin, sekali gus memberi ruang kepada Petronas menyesuaikan formulasi bahan api mengikut perubahan keperluan teknikal dan peraturan F1. – UTUSAN











