Kerajaan tanggung RM19.86 juta untuk diskaun tol Deepavali

Kerajaan tanggung RM19.86 juta untuk diskaun tol Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan menanggung implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM19.86 juta bagi membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya terlibat.

Ini susulan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus kepada pengguna kenderaan Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) sahaja sempena sambutan Deepavali pada 18 dan 19 Oktober ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, diskaun berkenaan bermula pukul 12.01 tengah malam, 18 Oktober dan berakhir pukul 11.59 malam, 19 Oktober di semua lebuh raya seluruh negara.

“Dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2026 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan diskaun tol sebanyak 50 peratus daripada kadar tol biasa bagi kenderaan Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) sahaja bermula pada 18 Oktober sehingga 19 Oktober.

“Ini bagi membolehkan kesemua rakyat Malaysia berbilang kaum terutamanya masyarakat India untuk menyambut dan meraikan Deepavali dalam suasana gembira, harmoni dan saling hormat-menghormati. 

“Bagaimanapun, diskaun tersebut tidak sah terhadap dua plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kupang,” katanya dalam kenyataan.

Alexander berkata, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan dengan baik bagi mengurangkan kesesakan sepanjang tempoh perayaan tersebut.

“Kerajaan berharap inisiatif ini dapat memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian kaum melalui keprihatinan terhadap keperluan semua lapisan masyarakat.

“Saya mewakili Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya memohon supaya semua pengguna memandu dengan berhemah mematuhi semua peraturan jalan raya yang telah ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN