KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menubuhkan Jawatankuasa Penapisan Perolehan bagi menilai setiap permohonan perolehan aset secara terperinci sebelum sebarang perolehan dilaksanakan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu bagi memastikan ia selari dengan keperluan projek dan perolehan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.
Katanya, kementerian sentiasa memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam perolehan aset strategik pertahanan, selain memastikan setiap proses mematuhi peraturan kewangan yang berkuat kuasa di semua peringkat.
“Prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Perolehan Dalaman kementerian turut diwujudkan sebagai mekanisme tambahan bagi memastikan segala tatakelola perolehan kerajaan dipatuhi sepenuhnya.
“Setiap permohonan perolehan peralatan dan kelengkapan pertahanan perlu diperakukan oleh pengguna akhir sama ada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN–Marang) mengenai mekanisme ketelusan perolehan pertahanan negara bagi projek tempatan bagi mengelakkan berlakunya rasuah, komisen dan penyelewengan.
Mohamed Khaled berkata, bagi peringkat perkhidmatan, permohonan turut melalui proses semakan dan pengesahan oleh jawatankuasa khusus di bawah Markas Perkhidmatan yang dipengerusikan Ketua Perkhidmatan masing-masing.
Katanya, jawatankuasa tersebut termasuk Jawatankuasa Keperluan Operasi Tentera Darat, Lembaga Pengurusan Keupayaan TLDM dan Jawatankuasa Pembangunan Keupayaan TUDM.
“Setiap permohonan yang diterima diteliti bagi memastikan spesifikasi dan kos adalah selaras dengan keperluan pengguna serta kelulusan peruntukan yang diterima daripada agensi pusat.
“Kementerian turut melaksanakan pelbagai kaedah pemantauan melalui penglibatan agensi pusat seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk memastikan proses perolehan aset strategik dijalankan dengan teratur, telus dan lancar,” katanya. – UTUSAN










