Jana eksport lebih setengah billion di Korea Selatan

Jana eksport lebih setengah billion di Korea Selatan

ANWAR Ibrahim semasa pertemuan bersama wakil JS Link sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di Gyeongju, Repulik Korea.- FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama tiga hari ke Korea Selatan berjaya menjana komitmen eksport lebih setengah bilion membabitkan sektor ammonia hijau dan urea mampan.

Ia merupakan hasil kerjasama dengan Namhae Corporation, pengeluar terbesar baja kimia dan produk kimia dari Korea Selatan.

Beliau berkata, kerjasama JS Link dengan Lynas Malaysia pula membabitkan pembinaan fasiliti pembuatan super magnet bernilai RM600 juta, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan mineral kritikal dan teknologi bersih.

“Lynas sudah mula beroperasi, namun dengan penglibatan JS Link, keupayaan pemprosesan dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi. Saya juga akan memastikan kerjasama dengan kerajaan negeri diperkukuh bagi mempercepatkan proses pelaksanaan, supaya mereka dapat bergerak dengan lebih pantas dalam masa terdekat.

“JS Link ini menarik kerana telah mula menjalinkan kerjasama dengan Lynas di Pahang dan telah mengadakan beberapa persiapan awal. Saya akan bertemu dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada esok.

“Manakala pada Isnin, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan meninjau serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaburan tersebut memandangkan ia amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas bertemu kesemua delegasi berkenaan di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) (AELM) di Korea Selatan.

Selain itu, pertemuan dengan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent dan Gabungan Perniagaan Amerika-APEC pula membuka ruang pengukuhan kerjasama perdagangan serta peluang pelaburan.

Sebanyak 15 syarikat gergasi AS berminat mengembangkan atau memudah cara pelaburan di Malaysia, susulan kunjungan Presiden AS, Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 baru-baru ini.

Lawatan itu bukan sahaja memperkukuh kerjasama strategik di peringkat serantau dan global, bahkan merancakkan pelaburan bernilai tinggi, malah memperteguh kedudukan Malaysia sebagai rakan kongsi ekonomi yang diyakini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN