KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya berjaya menutup tahun 2025 dengan rekod bersih selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Nepal pada aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad kebangsaan terpaksa melupakan khidmat Arif Aiman Hanapi apabila dikeluarkan seawal minit kelapan disebabkan kecederaan dan digantikan dengan Faisal Halim.
Meskipun menguasai hampir keseluruhan permainan dan mencipta deretan peluang namun skuad kebangsaan berdepan kesukaran untuk merobek gawang Nepal.
Peluang demi peluang dicipta jentera serangan Harimau Malaya yang diketuai Safawi Rasid namun gagal menewaskan penjaga gol Nepal, Kiran Kumar Limbu.
Dion Cools hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-37 buat skuad negara namun tandukannya berjaya dinafikan Kiran.
Asakan bertali arus Malaysia menekan benteng Nepal sepanjang babak pertama bagaimanapun masih belum mampu menembusi gawang pasukan kendalian Hari Khadka.
Bersambung babak kedua, skuad negara terus meningkat intensiti permainan dan percubaan Stuart Walkin sekali lagi dinafikan Kiran pada minit ke-51.
Usaha berterusan skuad Harimau Malaya akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-56 apabila umpanan Safawi disudahkan dengan baik oleh Faisal yang melakukan larian ke hadapan sebelum melakukan rembatan rendah untuk gol pembukaan buat Harimau Malaya.
Gol itu menyaksikan Faisal merekodkan jaringan ke-18 dalam penampilan kali ke-40 pemain berusia 27 tahun itu.
Pada minit ke-60, Malaysia sepatutnya mampu melebarkan kedudukan namun peluang itu dipersia-siakan Safawi yang menampan tinggi hantaran Corbin di hadapan gawang Nepal.
Faisal hampir menggandakan jaringan namun tampanannya yang menerima hantaran bola mati Safawi sedikit tersasar pada minit ke-68.
Pada penghujung perlawanan, skuad negara dihadiahkan sepakan penalti selepas Harith Haikal dijatuhkan oleh Laken Limbu sebanyak dua kali dalam kotak penalti.
Kesalahan berulang kali dilakukan Laken menyebabkan dia dilayangkan dua kad kuning dalam tempoh tidak sampai seminit seterusnya diarahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan dari Korea Utara, Kim Daeyong.
Bagaimanapun, peluang keemasan itu gagal disempurnakan oleh Paulo Josue apabila sepakan penalti diambilnya melambung tinggi sekali gus menamatkan perlawanan dengan satu gol.
Bagi Faisal kemenangan tersebut hasil usaha keras sepasukan dan walaupun tidak menang dengan jaringan yang besar namun paling penting pasukan negara mampu meraih tiga mata sekali gus mencatat kemenangan kelima berturut-turut dalam aksi kelayakan itu.
“Syukur Alhamdullilah ini untuk pasukan Harimau Malaya, rakyat Malaysia. Saya buat yang terbaik. Walaupun kita tidak dapat menjaringkan gol yang banyak tetapi yang penting tiga mata.
Saya tidak melihat prestasi saya, saya hanya menjalani latihan dua hari kerana kecederaan. Apapun apabila saya diperlukan saya akan beri yang terbaik. Terima kasih kepada jurulatih Peter dan rakan sepasukan kerana sentiasa beri sokongan kepada saya,” katanya selepas perlawanan.-UTUSAN










