Bergson pilihan 'ideal' dinaturalisasi

Bergson pilihan ‘ideal’ dinaturalisasi

Bergson Da Silva
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mesin gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva terus menunjukkan ketajaman di depan gawang lawan sekali gus menjadikannya calon naturalisasi paling ideal untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berpendapat, meskipun Bergson telah berusia 35 tahun, namun ia bukan penghalang buat penyerang kelahiran Brazil itu kerana prestasinya masih berada pada tahap tertinggi tanpa menunjukkan sebarang tanda kemerosotan.

Jelasnya, tahap profesionalisme, disiplin tinggi dan komitmen ditampilkan Bergson setiap kali turun beraksi bersama JDT membuktikan pemain itu kekal ‘tajam’, termasuk ketika menjaringkan gol dalam kemenangan ke atas Selangor FC baru-baru ini.

“Kita kini sudah memasuki tahun 2026 dan Bergson sudah menetap di Malaysia selama lima tahun berturut-turut, sekali gus memenuhi syarat untuk dinaturalisasikan.

“Dari sudut prestasi, ketajamannya tidak boleh dipertikaikan dan saya percaya kebolehannya boleh dimanfaatkan oleh skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tambah Pekan, kelebihan Bergson bukan sekadar di atas padang, malah pemain itu turut menunjukkan kesungguhan tinggi untuk mewakili negara selain sudah memahami budaya dan corak kehidupan di Malaysia.

“Mentaliti dan semangatnya untuk berjuang bersama pasukan negara sangat jelas. Itu satu nilai tambah yang besar,” ujarnya.

Pada aksi Liga Super menentang Selangor FC, Bergson sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol ke-13 musim ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di puncak carta penjaring terbanyak liga setakat ini.

Sejak menyertai JDT pada musim 2021, Bergson telah mencatatkan namanya dalam sejarah Liga Super sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman selepas mengumpul 116 gol, memadam rekod milik legenda tempatan, Indra Putra Mahayuddin (106).

Selain Bergson, dua lagi pemain yang turut disebut-sebut sebagai calon naturalisasi pada tahun ini ialah pemain sayap JDT, Manuel Hidalgo dan pertahanan Kuala Lumpur City, Giancarlo Gallifuoco. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN