Deaflympics 2025: Kuartet 100m pecah rekod kebangsaan

Deaflympics 2025: Kuartet 100m pecah rekod kebangsaan

MUHAMMAD Zumar Azman ketika beraksi aksi pusingan pertama saringan satu 4x100 meter (m) lelaki Sukan Deaflympics 2025 yang berlangsung di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa, hari ini. - IHSAN MSDEAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Kuartet 100 meter (m) negara tetap mencuri perhatian apabila memecahkan rekod kebangsaan meskipun tersingkir dan menamatkan saingan di tempat keenam pada pusingan pertama saringan satu di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa, hari ini.

Skuad yang dibarisi Muhammad Shahrul Azmer Azman, Muhammad Zamir Azman, Muhammad Zumar dan Hazrul Shah Hamri mencatat 44.32 saat (s), sekali gus memperbaharui rekod 44.36s yang dilakukan pada Sukan SEA Pekak (SEADEAF) Jakarta 2025.

Kemenangan saringan menjadi milik Colombia dengan catatan 42.11s, diikuti tuan rumah Jepun (42.19s) dan Ecuador di tempat ketiga (42.75s).

Menurut Shahrul, mereka sudah menjangkakan cabaran sengit di Tokyo memandangkan atlet terbaik dunia turun berentap pada temasya ini.

“Kami memang sudah jangka saingan sukar sebab negara yang bertanding di sini adalah antara yang terkuat. Namun kami sudah berikan segalanya dan cuaca sejuk serta angin kuat turut memberi cabaran kerana ia bukan kebiasaan kami,” kata Shahrul kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengikut format kejohanan, hanya tiga pasukan terpantas setiap saringan serta dua terbaik keseluruhan bakal mara ke final yang dijadual berlangsung esok.

Tumpuan kini terarah kepada acara 4x400m apabila kuartet yang sama bakal turun kecuali Hazrul akan digantikan dengan Azlan Kuste bagi menyemarakkan cabaran Malaysia di pentas final esok.

Zumar optimis peluang masih terbuka untuk menyumbang pingat buat negara dan menganggap persembahan hari ini sebagai pembakar semangat.

“Kami ambil semua ini sebagai pengalaman dan akan fokus sepenuhnya pada final 4x400m esok dengan tekad membawa pulang pingat untuk Malaysia,” kata Zumar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN