PETALING JAYA: Sebuah kapal Malaysia dilaporkan telah berjaya melepasi Selat Hormuz, menurut Kedutaan Iran di Malaysia.
Kedutaan itu menerusi hantaran di akaun rasminya di platform X memaklumkan, Republik Islam Iran tidak akan melupakan rakan-rakannya, selain mengesahkan kapal Malaysia pertama telah melalui laluan strategik berkenaan.
“Hari ini kami buktikan bahawa Iran tidak melupakan rakan-rakannya. Kapal Malaysia pertama telah melalui Selat Hormuz,” menurut hantaran tersebut.
Hantaran itu turut disertakan dengan sekeping gambar sebuah kapal namun tiada butiran lanjut mengenai identiti kapal atau destinasi pelayarannya didedahkan.
Media sebelum ini melaporkan, Malaysia memperoleh pelepasan bagi tujuh kapal yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz untuk meneruskan perjalanan.
Ia hasil perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian selepas perkara itu dibangkitkan secara langsung memandangkan kepentingannya terhadap keperluan rakyat serta bekalan minyak negara.
Perdana Menteri berkata, beliau menegaskan kepada Presiden Iran bahawa kapal Malaysia masih terkandas di Selat Hormuz iaitu merupakan satu isu yang kritikal bagi keperluan rakyat dan bekalan minyak negara.
“Sejurus selepas panggilan itu, beliau mengarahkan supaya kapal Malaysia diberi laluan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kolej Vokasional Pengerang di SMK Tanjung Pengelih, Pengerang, Johor, baru-baru ini.
Terdahulu sebuah kapal tangki milik Malaysia yang membawa minyak mentah dari Iraq sudah berjaya melintasi Selat Hormuz dan dijangka tiba di tanah air pada pertengahan bulan ini.
Berdasarkan data daripada Kumpulan Bursa Saham London (LSEG) dan Kpler, kapal tangki minyak itu berjaya melintasi laluan laut itu selepas Iran menyatakan bahawa Iraq dikecualikan daripada sebarang sekatan. – UTUSAN










