Penjawat awam digalak pakai baju batik setiap hari

Penjawat awam digalak pakai baju batik setiap hari

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penjawat awam digalakkan memakai baju batik setiap hari bekerja sebagai alternatif kepada pakaian pejabat susulan pelaksanaan kawalan suhu penyaman udara pada minimum 24 darjah Celsius bagi penjimatan tenaga.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ketetapan itu selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian UP.7.2.3 mengenai etiket pakaian dan penampilan pegawai awam.

“Di bawah perenggan 5, Jadual 1 (iii) bagi pegawai lelaki dan perenggan 8, Jadual 2 (ii) bagi pegawai wanita ketika menjalankan tugas, pemakaian baju batik diwajibkan setiap Khamis dan digalakkan dipakai setiap hari bekerja sebagai alternatif kepada pakaian pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi surat edaran kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang dimuat naik di akaun Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam, hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata, Ketua Jabatan boleh membenarkan pegawai memakai baju korporat atau baju kerja lapangan pada hari tertentu bagi tujuan tertentu semasa bertugas, selaras perenggan 13 Ceraian UP.7.2.3.

“Pegawai dibenarkan memakai baju korporat setiap hari kecuali pada Khamis. Namun, ketetapan ini tidak terpakai kepada pegawai yang diwajibkan memakai pakaian seragam,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan akan diperketat termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada minimum 24 darjah Celsius.

Langkah berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memimpin melalui teladan dalam penggunaan tenaga secara berhemat serta menjadi pendekatan proaktif dalam menghadapi krisis tenaga global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN