Pendirian tegas Anwar raih pujian Duta Iran

Pendirian tegas Anwar raih pujian Duta Iran

VALIOLLAH MOHAMMADI NASRABADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Duta Iran ke Malaysia memuji pendirian tegas dan berprinsip Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan serangan berterusan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap negara itu.

Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, kepimpinan Anwar mencerminkan haluan yang selari dengan landasan sejarah yang tepat sekali gus berpotensi memperkukuh kedudukan diplomatik Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Sejarah akan menilai kebijaksanaan pendirian ini dengan adil dan rakyat Iran tidak akan melupakan sokongan kerajaan serta rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, masyarakat antarabangsa perlu bersuara menentang jenayah perang yang didakwa dilakukan oleh AS dan Israel terhadap Iran serta memberi amaran bahawa sikap berdiam diri terhadap tindakan tersebut boleh dianggap sebagai bentuk persubahatan.

Katanya, komuniti global tidak seharusnya bersikap acuh tak acuh terhadap tindakan yang menyasarkan infrastruktur awam dan ia perlu dikutuk tanpa sebarang keraguan atau amalan dwistandard.

“Sekiranya tindakan ini dibiarkan tanpa tindakan tegas, kedaulatan sesebuah negara serta keselamatan orang awam tidak lagi terjamin.

“Jika ia boleh berlaku kepada satu negara ia juga boleh berlaku kepada negara lain sekiranya tiada pihak dipertanggungjawabkan,” katanya.

Beliau turut mengutuk serangan terhadap pelbagai infrastruktur awam di Iran termasuk kemudahan minyak dan gas, kilang keluli, hospital, universiti, sekolah, bangunan kediaman serta jambatan.

Katanya, tindakan tersebut bukan bersifat mempertahankan diri, sebaliknya merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa serta boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang.

“Serangan berulang terhadap Loji Kuasa Nuklear Bushehr berisiko memberi kesan melangkaui sempadan Iran dan boleh membawa implikasi besar kepada keselamatan awam di rantau berkenaan,” katanya.

Valiollah turut melahirkan kebimbangan terhadap ancaman Presiden AS, Donald Trump untuk menyerang loji kuasa dan jambatan di Iran sekiranya Selat Hormuz terus ditutup.

Katanya, ancaman sedemikian bukan mencerminkan diplomasi, sebaliknya menunjukkan niat untuk melakukan lebih banyak jenayah perang.

“Apabila seorang pemimpin secara terbuka menyatakan hasrat untuk ‘mengembalikan sesebuah negara ke zaman batu’, ia menggambarkan niat sebenar yang sanggup menyebabkan penderitaan besar kepada orang awam.

“Ia bukan kenyataan yang boleh dipandang ringan, sebaliknya satu amaran yang serius,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN