KOTA KINABALU: DAP Sabah mengalu-alukan keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengesahkan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih yang dikutip di negeri ini.
Calon Pakatan Harapan (PH)-DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong, Philip Yap menyifatkannya sebagai satu kemenangan besar buat rakyat Sabah serta penghormatan terhadap semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan itu membuktikan keikhlasan serta komitmen Kerajaan Madani untuk mengiktiraf hak sejarah Sabah yang telah diperjuangkan sejak sekian lama.
“Perjuangan menuntut pemulangan 40 peratus hasil bersih adalah tuntutan keadilan yang telah lama diperjuangkan oleh rakyat Sabah. Pakatan Harapan bersama DAP memainkan peranan penting dalam pelbagai fasa perjuangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa seawal Jun 2022, wakil-wakil rakyat DAP Sabah iaitu Datuk Phoong Jin Zhe, Datuk Chan Foong Hin, Vivian Wong dan Jannie Lasimbang telah memulakan proses semakan kehakiman berhubung hak 40 peratus tersebut bersama rakan-rakan dalam PH Sabah.
“Selepas penubuhan Kerajaan Madani pada akhir 2022, bagi mengelakkan konflik kepentingan, DAP Sabah meneruskan perjuangan ini melalui saluran rasmi kerajaan dan mekanisme dalaman secara lebih konstruktif,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa DAP Sabah menyokong penuh tindakan undang-undang oleh Sabah Law Society (SLS) serta beberapa kali menghadiri sesi pendengaran sebagai tanda solidariti.
Menurutnya, selepas keputusan Mahkamah Tinggi diumumkan, DAP Sabah menjadi antara pihak terawal menggesa kerajaan Persekutuan agar tidak mengemukakan rayuan demi menghormati semangat MA63.
Katanya, kepemimpinan DAP Sabah kemudiannya sebulat suara meluluskan resolusi agar kerajaan Persekutuan menghormati keputusan mahkamah tersebut dan resolusi itu turut diterima oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan dibawa ke Kabinet oleh lima menteri Persekutuan daripada DAP. – UTUSAN








