PETALING JAYA: Dakwaan ahli perniagaan, Albert Tei berhubung rasuah melibatkan Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin mencetuskan kebimbangan dan pelbagai persoalan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana skandal tersebut melibatkan individu paling rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah katanya, wujud unsur lebih membimbangkan selepas Anwar turut dikatakan terlibat dalam skandal rasuah lesen mineral tersebut.
“Adakah benar Perdana Menteri menggunakan kedudukannya untuk melindungi ahli-ahli politik GRS yang terbabit dalam kes rasuah lesen mineral Sabah sebagai balasan untuk mereka terus menyokong Perdana Menteri dan Kerajaan Madani?.
“Adakah benar Perdana Menteri menggunakan kes rasuah ahli-ahli politik GRS sebagai ugutan terhadap ahli-ahli politik tersebut? Perdana Menteri tidak boleh mengelak daripada menjawab persoalan-persoalan ini,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Selasa lalu Shamsul Iskandar meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri dengan mendakwa terdapat percubaan untuk menyerang beliau secara peribadi dan merosakkan imej kerajaan Madani.
Peletakan jawatan itu dipercayai ada kaitan dengan beberapa pendedahan yang terkait dengannya termasuk seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Albert Tei atau nama sebenarnya, Tei Jiann Cheing.
Muhyiddin turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Perdana Menteri atas dakwaan salah guna kuasa. – UTUSAN










