LONDON: Chelsea kembali menyalakan aura lama dalam saingan Liga Juara-Juara apabila mempamerkan aksi penuh berwibawa untuk menumpaskan Barcelona 3–0 awal pagi tadi.
Kemenangan itu sekali gus meletakkan skuad kendalian Enzo Maresca di landasan terbaik memburu tiket automatik ke pusingan seterusnya.
Aksi di Stamford Bridge menyajikan dominasi mutlak The Blues, yang bukan sahaja mengucar-ngacirkan benteng lawan, malah turut menyaksikan tiga jaringan mereka dibatalkan oleh pengadil.
Chelsea membuka tirai jaringan pada minit ke-27 apabila hantaran rendah Marc Cucurella dari sebelah kanan gagal dipatahkan pertahanan Barcelona, dan Jules Kounde tersasar lalu tertolak bola ke gawang sendiri.
Barcelona yang sememangnya tampak bergelut sejak sepak mula, terus dirundung malang apabila kapten mereka, Ronald Araujo dilayangkan kad kuning kedua selepas menjatuhkan Cucurella seminit sebelum rehat, meninggalkan pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Memasuki babak kedua, Chelsea semakin garang mengatur asakan biarpun jaringan Andrey Santos dibatalkan kerana ofsaid, tekanan bertali arus akhirnya membuahkan gol kedua menerusi pemain remaja sensasi, Estevao.
Pemain berusia 17 tahun itu mempamerkan penyudah kelas dunia apabila meloloskan diri melepasi dua pemain Barcelona sebelum melepaskan rembatan kencang dari sudut sempit untuk menewaskan penjaga gol lawan.
Liam Delap kemudian melengkapkan malam gemilang Chelsea dengan gol ketiga, menjadikan kelebihan 3–0 sebagai bekalan selesa menuju aksi timbal balik.
Barcelona pula jauh daripada identiti klasik mereka, gagal menguasai perlawanan dan kelihatan longlai setiap kali diasak dengan satu-satunya peluang terbaik mereka hadir seawal minit keenam apabila Ferran Torres mensia-siakan peluang terhidang.-AGENSI










