Bekas ADUN Paloh cerai isteri talak tiga menerusi panggilan telefon

Bekas ADUN Paloh cerai isteri talak tiga menerusi panggilan telefon

NORZULA Mat Diah  menaiki kerusi roda  semasa prosiding pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang, Gua Musang, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini mengesahkan lafaz cerai talak tiga yang difailkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah, 68, terhadap isterinya, Mastura Osman, 53, melalui panggilan telefon pada 27 Oktober lalu.

Hakim Syarie, Wan Mohd. Ramdhan Wan Hassan mesabitkan berlaku perceraian talak tiga apabila keputusan itu dibuat selepas mahkamah  meneliti permohonan dan keterangan daripada kedua-dua belah pihak.

Peguam Nozula, Abdul Naim Mokhtar berkata, mahkamah meluluskan tuntutan pengesahan cerai selepas mendapati lafaz talak yang dibuat melalui telefon pada 27 Oktober adalah sah mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 2002.

“Pihak mahkamah berpuas hati terhadap isu lafaz cerai yang telah berlaku dan mesabitkan jatuh talak tiga selepas mendengar perbicaraan dan hujahan secara lisan daripada kedua-dua pihak. 

“Pendaftaran perceraian di luar mahkamah mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 2002. Faktor perceraian lebih kepada tiada persefahaman antara Nozula selaku plaintif dan defendan, Mastura,” katanya. 

Terdahulu, Nozula hadir dengan berkerusi roda ditemani anak, peguam dan individu lain ke pekarangan mahkamah. 

Mastura juga ditemani ahli keluarga dilihat tersenyum dan melangkah tenang ke mahkamah.

Sementara itu, Mastura berkata, dia reda dengan ketentuan Allah SWT dan menerima keputusan dengan hati yang tenang. 

Katanya, dia sudah menjalankan tugas sebagai isteri sebaik mungkin sepanjang 11 tahun usia perkahwinan.

“Sepanjang berkahwin, hanya dua tahun sahaja dia dalam keadaan sihat dan sembilan tahun saya menjaganya dengan baik dalam keadaan sakit. 

“Suami diserang angin ahmar kali pertama semasa usia perkahwinan masuk tahun ketiga. Selepas diserang strok kali kedua pada 2023, suami mengalami lumpuh dan berkerusi roda sehingga hari ini,” katanya,

Berdasarkan rekod, Nozula berkahwin dengan Maziah Din sebelum mendirikan rumah tangga dengan Mastura pada 8 November 2014.

Maziah meninggal dunia pada usia 57 tahun selepas terlibat kemalangan di Kilometer 23, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland dekat Ipoh, Perak pada 17 April 2014.

Nozula merupakan ADUN Paloh daripada Barisan Nasional selama 28 tahun sejak 1990 hingga 2018. Nama beliau digugurkan daripada bertanding di Dewan Undangan Negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akibat masalah kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN