HULU TERENGGANU: Walaupun semakin kurang diusahakan, tujuh petani di Kampung Kuala Menjing di sini, masih setia mengusahakan tanaman kacang tanah sejak hampir sedekad lalu bagi memastikan tanaman tradisi itu tidak pupus.
Kampung Kuala Menjing dipercayai menjadi satu-satunya kawasan di Terengganu yang masih mengekalkan penanaman kacang tanah secara komersial.
Petani, Rashid Che Embong, 71, berkata, dia bersama isteri, Minah Ibrahim, 67, serta enam lagi petani terus mengusahakan tanaman itu secara berkelompok di kawasan seluas 0.8 hektar kerana permintaan pasaran masih tinggi.
Katanya, jika dahulu ramai petani mengusahakan tanaman kacang tanah, namun kini hanya Kampung Kuala Menjing yang masih mengekalkan tradisi tersebut.
“Saya dan isteri sudah menanam kacang tanah lebih 20 tahun tetapi secara berkelompok baharu 10 tahun.
“Kacang tanah yang ditanam kira-kira tiga bulan lalu kini sudah boleh dituai dan dijangka mengeluarkan hasil kira-kira 10 tan metrik bagi semua petani. Bagi kebun saya pula, hasilnya mencecah setengah tan metrik.
“Setiap pagi saya bersama isteri ke kebun untuk mengutip hasil. Dari pagi hingga tengah hari, kami mampu mengutip sehingga 30 kilogram (kg) kacang tanah sehari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rashid berkata, selain kacang tanah, mereka turut mengusahakan tanaman jagung dan ubi kayu secara bergilir-gilir bagi memanfaatkan tanah pertanian sepanjang tahun.
Katanya, tanaman kacang tanah biasanya diusahakan dua kali setahun bergantung kepada keadaan cuaca dan permintaan pasaran.
“Permintaan daripada pemborong terutama dari Kuala Terengganu masih tinggi. Apabila ada tempahan, kami terus ke kebun untuk menuai supaya pembeli memperoleh bekalan yang segar,” katanya.
Menurutnya, dia turut menggalakkan anak-anak serta generasi muda menceburi penanaman kacang tanah bagi memastikan tanaman tradisi itu terus diwarisi.
“Daripada segi benih pula, kami menghasilkannya sendiri menggunakan kacang tanah yang sudah tua. Kacang itu akan dikeringkan terlebih dahulu, sebelum dijadikan benih untuk musim penanaman yang seterusnya,” katanya. – UTUSAN










