KUALA TERENGGANU: Terengganu menarik pelaburan berjumlah RM399.8 juta yang diluluskan sepanjang suku pertama tahun dengan sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar kepada nilai pelaburan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, daripada jumlah itu, sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan sebanyak RM336.4 juta atau 84.1 peratus manakala sektor perkilangan menyumbang RM63.4 juta atau 15.9 peratus.
Katanya, pelaburan domestik terus mendominasi dengan nilai RM348.4 juta atau 87.1 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan, sementara pelaburan asing (FDI) menyumbang RM51.5 juta atau 12.9 peratus.
“Setakat ini, terdapat sembilan projek pelaburan berpotensi yang masih dalam pertimbangan melibatkan sektor utiliti, tenaga boleh diperbaharui, logistik dan hospitaliti,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Shah Muhamed (Pas-Bandar) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Menjawab soalan tambahan Hilmi Harun (Pas-Manir) berhubung jumlah projek yang diluluskan, Mohd. Nurkhuzaini berkata, tujuh projek yang diluluskan pada suku pertama tahun ini dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 254 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri ini.
Katanya, bagi tempoh yang sama, projek di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merekodkan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM91.2 juta, melibatkan empat projek yang telah menerima kelulusan penuh.
“Angka ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Terengganu, malah membuktikan keberkesanan dasar pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam menarik pelaburan strategik.
“Pelaburan tersebut dijangka memberi kesan berganda kepada ekonomi tempatan melalui penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan produktiviti serta pengukuhan rantaian bekalan industri,” katanya. – UTUSAN










