Tarik tepi, selesai berdepan, bukan mengadu di media sosial - Zahiril Adzim - Utusan Malaysia

Tarik tepi, selesai berdepan, bukan mengadu di media sosial – Zahiril Adzim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG: Pelakon dan pengarah, Zahiril Adzim, berpendapat sebarang kemelut peribadi atau perselisihan faham yang berlaku antara pelakon di lokasi penggambaran wajar diselesaikan secara bersemuka.

Zahiril atau Muhammad Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar, 42, berkata tindakan meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial hanya akan mengeruhkan keadaan dan membuka ruang kepada pelbagai tafsiran.

“Bagi saya, hal-hal peribadi tidak wajar dibawa ke media sosial. Kita semua sudah dewasa dan mampu berbincang secara bersemuka. Kenapa tidak selesaikan secara baik, depan-depan?

“Melainkan seseorang itu merasakan segala usaha berbincang tidak berhasil dan menganggap media sosial sebagai jalan terakhir untuk memberi kesedaran.

“Namun, pada saya lebih baik bawa individu terbabit ke tepi dan selesaikan perkara itu,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Blossom Rally Pickleball 2026 di Tomaz Pickleball Club, di sini, Ahad.

Mengulas lanjut, pelakon filem Bunohan itu berkata, dia sendiri tidak teragak-agak mendapatkan penjelasan secara terus sekiranya mendengar khabar angin atau mengetahui ada pihak yang tidak berpuas hati terhadapnya.

“Saya pernah melalui situasi seperti itu. Sesiapa yang bercakap di belakang saya, saya akan jumpa. Tidak kisahlah pengarah, penolong pengarah atau sesiapa sahaja.

“Saya akan tarik ke tepi dan bertanya sama ada benar apa yang saya dengar.

“Apabila bersemuka, hati kita lebih cepat sejuk, lebih-lebih lagi jika pihak berkenaan mengakui kesilapan dan memohon maaf,” katanya.

Dalam pada itu, Zahiril turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah menjatuhkan hukum terhadap mana-mana pihak berdasarkan pendedahan yang tular di media sosial.

Menurutnya, kebanyakan perkongsian di platform berkenaan hanya memaparkan satu sudut pandang dan berkemungkinan dipengaruhi emosi.

“Perkongsian di media sosial selalunya akan menjatuhkan sebelah pihak. Nasihat saya, baca boleh, tetapi jangan terus percaya. Kadang-kadang ia hanya andaian atau luahan emosi daripada satu pihak.

“Mungkin individu yang membuat tuduhan itu sebenarnya menjadi punca, tetapi apabila dimuat naik ke media sosial, dia pula dilihat sebagai mangsa, manakala orang lain dianggap bersalah,” katanya.

Terdahulu, seorang pelakon mencuri perhatian apabila memuat naik sindiran di media sosial terhadap seorang rakan pelakon yang didakwa bersikap sombong serta tidak menghormati waktu panggilan penggambaran (call time). -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN