PETALING JAYA: Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memperkukuh peranan dalam membantu golongan B40 dan asnaf di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerusi pelaksanaan pelbagai skim bantuan pendidikan serta kebajikan hasil sumbangan zakat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Dr. Abdul Basir V. Kunhimohamed berkata, program bantuan berkenaan bukan sekadar inisiatif kebajikan, sebaliknya pelaburan sosial jangka panjang bagi melahirkan generasi muda Wilayah Persekutuan yang berdaya saing dan berdikari.
“Program berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi pelaburan sosial untuk membina masa depan generasi muda Wilayah Persekutuan agar lebih berdaya saing dan berdikari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Skim Bantuan Makanan Sekolah Menengah (SBMSM), Skim Dermasiswa TVET, Skim Bantuan Awal ke IPT dan Skim Khairat Kematian YWP di Dewan Masjid Jamek Kampung Bharu, Kuala Lumpur, hari ini.
Pada majlis itu, Cagamas Berhad melalui Jawatankuasa Zakat menyampaikan sumbangan berjumlah RM200,100 kepada YWP bagi melaksanakan beberapa program pendidikan dan kebajikan utama.
Menurut Abdul Basir, daripada jumlah itu, RM100,100 disalurkan bagi SBMSM yang akan memberi manfaat kepada 260 pelajar daripada 20 sekolah di Wilayah Persekutuan
“Manakala RM100,000 pula untuk Skim Dermasiswa TVET yang menampung 10 peserta asnaf mengikuti latihan kemahiran di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara dengan jaminan kerjaya selepas tamat pengajian,” katanya.
Selain itu, menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diwakili Pengurus Kawasan Pejabat Cawangan Titiwangsa, Nur Jalilah Md. Joha, turut menyerahkan sumbangan RM43,200 bagi dua kategori bantuan.
“Sumbangan itu melibatkan RM4,000 bagi Skim Khairat Kematian kepada empat waris ahli Skim Prihatin serta RM39,200 bagi Skim Bantuan Awal ke IPT untuk 56 pelajar anak-anak Wilayah Persekutuan yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
“Bantuan itu amat bermakna kerana ia memastikan tiada keluarga di Wilayah Persekutuan yang terpinggir daripada peluang pendidikan dan sokongan kebajikan,” katanya.
Beliau pada masa sama menyeru lebih banyak agensi kerajaan, syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak media untuk bersama-sama memperluas impak zakat dan CSR melalui pelbagai bentuk sokongan termasuk latihan kemahiran, bimbingan kerjaya serta pembangunan modal insan dan teknologi.
YWP turut menawarkan resit pengecualian cukai bagi setiap sumbangan tunai yang disalurkan kepada yayasan berkenaan.
Majlis berkenaan turut dihadiri guru penyelaras program, penerima bantuan serta wakil daripada Cagamas Berhad, DBKL dan komuniti setempat. – UTUSAN









