Sabah peruntuk lebih RM210 juta untuk bantuan pendidikan

Sabah peruntuk lebih RM210 juta untuk bantuan pendidikan

HAJIJI Noor bersama penerima Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) dan Bantuan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu. - IHSAN PEJABAT JABATAN KETUA MENTERI SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperkukuh komitmen terhadap pembangunan modal insan dengan melaksanakan 14 inisiatif bantuan pendidikan membabitkan peruntukan mencecah RM210.25 juta dalam tempoh lima tahun, memberi manfaat kepada ratusan ribu pelajar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, seramai 90,296 pelajar institut pengajian tinggi (IPT); 184,911 pelajar sekolah; 1,500 sekolah termasuk sekolah agama dan 57 persatuan pelajar IPT Sabah telah menerima manfaat, selain 362 program pendidikan dilaksanakan.

Katanya, bagi tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang dijangka memberi manfaat kepada 5,000 pelajar.

“Peruntukan besar ini membuktikan kemampuan serta komitmen tinggi kerajaan dalam membela nasib rakyat Sabah melalui pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) 2026 di Politeknik Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 3,366 pelajar Sabah menerima bantuan SENTOSA secara tunai.

Hajiji berkata, bantuan berkenaan diwujudkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa belia Sabah.

“Tahun ini, dianggarkan seramai 30,000 pelajar IPT Sabah yang menuntut dalam negeri akan menerima manfaat bantuan SENTOSA,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan meneruskan kesemua 14 inisiatif itu merangkumi Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN