KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyokong pendirian tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus memperjuangkan penyelesaian tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pendirian Presiden parti itu yang dibawa pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) baru-baru ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri memastikan hak Sabah diterjemahkan kepada penyelesaian nyata.
Katanya, tuntutan 40 peratus hasil Sabah bukan perkara baharu dan bukan soal ihsan mana-mana pihak kerana hak itu diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, adalah wajar perkara ini diselesaikan dengan penuh tanggungjawab, adil dan dalam semangat sebenar pembentukan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizam berkata, Gagasan Rakyat turut mengalu-alukan keputusan kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini.
Katanya, peningkatan bayaran itu merupakan perkembangan positif hasil rundingan berterusan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Bagaimanapun, bayaran interim itu tidak menutup tuntutan 40 peratus yang masih perlu dimuktamadkan sebagaimana yang terus ditegaskan Ketua Menteri,” katanya.
Beliau menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen.
Katanya, suara Sabah perlu mempunyai kedudukan lebih kukuh dalam institusi Parlimen selaras dengan kedudukan dan semangat Sabah serta Sarawak ketika Malaysia dibentuk pada 1963.
Beliau berkata, usaha mempercepatkan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan dan penyelesaian perkara lain di bawah MA63 juga perlu diberi perhatian.
Katanya, semua perkara itu berkait rapat dengan kedudukan Sabah dalam Persekutuan dan keupayaan negeri menentukan serta mengurus kepentingannya dengan lebih berkesan. – UTUSAN










