Hari Malaysia perlu disertai pemahaman Perjanjian 1963

Hari Malaysia perlu disertai pemahaman Perjanjian 1963

ARMIZAN MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia perlu disertai kefahaman lebih menyeluruh terhadap sejarah pembentukan negara termasuk menerima kewujudan terma dalam Artikel VIII Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, terma berkenaan perlu difahami sebagai sebahagian daripada asas pembentukan Persekutuan Malaysia dan tidak dilihat sebagai perkara yang berakhir selepas Perlembagaan Persekutuan digubal.

Beliau berkata, Artikel VIII MA63 secara jelas memperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak akan mengambil tindakan perundangan, eksekutif atau tindakan lain yang diperlukan bagi melaksanakan syor dalam Bab 3 serta Lampiran A dan B Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Terma ini adalah penegasan kepada komitmen dan tanggungjawab semua pihak yang bersetuju memeterai perjanjian bagi membentuk sebuah Persekutuan Malaysia.

“Melangkah ke hadapan, negara ini tidak memerlukan perjanjian baharu ataupun apa yang disebut sebagai new deal oleh sesetengah pihak,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Malaysia hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu juga berkata, tanggungjawab mengawal terma-terma yang terkandung secara tersurat dalam MA63 membuktikan perjanjian itu tidak ternoktah sebaik sahaja Perlembagaan Persekutuan digubal.

Sebaliknya, katanya, MA63 terus berkuat kuasa sebagai asas komitmen dan tanggungjawab yang digariskan kepada pihak-pihak yang memeterainya.

Menurutnya , pemahaman terhadap sejarah pembentukan Malaysia tidak seharusnya hanya tertumpu kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 dan perkembangan sejarah selepasnya.

“Kesedaran tentang sejarah kemerdekaan negara bukan sekadar memerlukan kefahaman terhadap Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, kontrak sosial antara tiga kaum utama dan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, malah menuntut penerimaan sepenuhnya terhadap sijil lahir Persekutuan Malaysia itu sendiri, iaitu MA63,” katanya.

Armizan berkata, sambutan Hari Malaysia yang mula dimasukkan dalam takwim rasmi nasional pada 2010 turut mencerminkan perubahan dalam memahami aspirasi Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia.

Katanya, selepas lebih 40 tahun sejak penubuhan Malaysia, 16 September sebelum ini tidak diangkat sebagai detik keramat nasional, sebaliknya tumpuan lebih diberikan kepada 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan.

“Bilamana kali pertama dalam sejarah tanah air sebuah pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang dibentuk pasca Pilihan Raya Umum 2008 tidak mendapat majoriti dua pertiga, bermula angin perubahan kepada landskap politik nasional.

“Antaranya ialah kesedaran untuk lebih menilai dan memaknai aspirasi rakan kongsi di Wilayah Sabah dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×