PETALING JAYA: Usaha memperkasa akses pendidikan tinggi digerakkan menerusi inisiatif penyaluran bantuan pendidikan awal berjumlah RM2,000 kepada bakal mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan.
Langkah proaktif menerusi kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS), merangkumi sokongan yuran pengajian, bantuan sara diri serta insentif pendidikan bagi memastikan pelajar dapat memulakan pengajian dalam keadaan lebih kondusif.
Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Seri Jailani Johari berkata, sesi ziarah telah dilaksanakan di sekitar Kota Tinggi dan Skudai, Johor bagi menyantuni empat keluarga pelajar yang memerlukan sokongan awal sebelum mendaftar masuk.
“Pendekatan intervensi terus kepada keluarga pelajar membolehkan pihak pengurusan memahami keperluan sebenar golongan tersebut.
“Akses kepada pendidikan tinggi tidak seharusnya terhalang oleh kekangan ekonomi.
“Kita dapat memastikan kebajikan mahasiswa terus menjadi keutamaan supaya tiada yang tercicir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, program ziarah kasih seumpamanya akan diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah terbela.
“Inisiatif berimpak sosial berkenaan adalah selari dengan gagasan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir,” katanya.
Empat pelajar yang menerima sumbangan berkenaan ialah Ainul Mardhiah Mohamad Faizal, Muhammad Zulhilmi Ridzauddin, Syah Hiddin Rasul dan Husna Jaida Sheik Hazrin yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat asasi. – UTUSAN










