Teliti pindaan Akta Pengambilan Tanah 1960

Teliti pindaan Akta Pengambilan Tanah 1960

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) kini meneliti cadangan pindaan terhadap Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486), khususnya membabitkan aspek pemberian pampasan, pengeluaran hak milik sambungan serta penambahbaikan prosedur rujukan kes ke mahkamah.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha penambahbaikan itu memberi tumpuan kepada memastikan bayaran pampasan yang adil, pengambilan tanah demi kepentingan rakyat serta peluang sewajarnya bagi pemilik tanah membuat tuntutan di mahkamah.

“Selaras dengan perkembangan semasa dan isu perundangan yang timbul, kementerian melalui JKPTG sedang memperkemas tatakelola serta proses berkaitan pengambilan tanah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Fadzil Shaari (PN–Pasir Mas) berhubung sama ada kerajaan bercadang meminda Akta 486, yang kali terakhir disemak pada 2021, memandangkan masih wujud kelemahan dalam melindungi kepentingan rakyat termasuk tafsiran luas terhadap istilah ‘kepentingan awam’.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk kelewatan bayaran pampasan kepada pemilik tanah serta ruang rayuan yang terhad.

Akta berkenaan kembali menjadi perhatian dalam perbahasan Parlimen susulan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) oleh kerajaan baru-baru ini.

Selain itu, pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru turut mencetuskan persoalan dalam kalangan penduduk yang mendakwa prosesnya tidak dijalankan secara adil, dengan kes berkenaan kini masih dibicarakan di mahkamah.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, mendedahkan keputusan pewartaan pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru dibuat secara tergesa-gesa pada 2021, iaitu hanya dalam tempoh tiga hari selepas kelulusan diberikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN