KUALA LUMPUR: Kisah agung yang menjadi teras kepada peradaban Melayu bakal kembali ke pentas apabila Teater Muzikal Sulalat’Us Salatin 2.0 dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). dari 31 Oktober hingga 2 November ini.
Produksi berskala besar ini diterbitkan oleh CTRA Production dengan kerjasama Persatuan Bangsawan Bintang Timur, serta mendapat sokongan DBP, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka dan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur.
Menggabungkan lebih 140 tenaga produksi dan pelakon, pementasan ini menjanjikan pengalaman teater yang menggabungkan elemen dramatik, muzik dan tarian dalam suasana penuh keindahan sejarah Melayu.
Penerbit, Siti Rohayah Attan berkata, pementasan ini diangkat sebagai sebahagian daripada Program Kepengerusian ASEAN 2025 bagi memperkukuh seni persembahan tempatan yang berteraskan warisan dan jati diri bangsa.
“Sulalat’Us Salatin 2.0 membawa penonton mengimbau kehebatan empayar Melayu maritim dari zaman Raja Iskandar Zulkarnain hingga ke kejatuhan Empayar Melaka. Antara kisah menarik termasuk waadat Demang Lebar Daun, kisah Tun Jana Khatib di Temasek, kebijaksanaan Hang Nadim dan cinta legenda Tun Teja,” katanya.

Teater arahan Zaifri Husin daripada skrip tulisan Siti Jasmina Ibrahim, Siti Roy Tan dan Ezee Klasik memberi nafas baharu kepada karya klasik ini, menjadikannya bukan sekadar hiburan tetapi wadah menyemai semangat kebangsaan dan cinta kepada sejarah bangsa.
Antara barisan pelakon utama ialah Nabila Huda (Puteri Gunung Ledang), Adam Lee (Sultan Mahmud Syah), Aris Kadir (Raja Iskandar Zulkarnain/Tun Jana Khatib), Zaidi Omar (Demang Lebar Daun), Zera Hariz (Tun Teja) dan Siti Sarah Jamil (Tun Fatimah), dengan penampilan khas Rosli Rahman Adam dan Mubarak Majid.
Teater muzikal berkenaan yang dipentaskan buat kali pertama pada hujung tahun lepas, dijangka menjadi antara pementasan paling dinanti tahun ini yang menghidupkan kembali keagungan sejarah Melayu di pentas moden. – UTUSAN










