KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merancang memperkenalkan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) khas untuk kanak-kanak autisme bermula tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan bekerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi membangunkan modul kurikulum yang sesuai.
Katanya, tabika berkenaan dijangka menjadi satu langkah transformasi penting, selepas pelaksanaan Tabika Kemas Pratahfiz sebelum ini.
“Selain pengembangan Tabika Kemas Pratahfiz, kita juga memberi tumpuan kepada pendidikan kanak-kanak autisme. Tahun depan, setiap negeri dijangka memiliki Tabika Kemas Autisme,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Zahid berkata,, sekiranya peruntukan mencukupi, setiap daerah boleh mempunyai sekurang-kurangnya satu Tabika Kemas Autisme menjelang 2027.
Menurutnya, inisiatif ini juga bertujuan mengurangkan beban kewangan ibu bapa yang ingin menghantar anak istimewa mereka mendapatkan pendidikan awal di Tabika.
“Jika anak autisme dihantar ke Tabika bukan Kemas, kosnya tinggi dan boleh membebankan keluarga. Oleh itu, kita wujudkan Tabika Kemas Autisme,” ujarnya. – UTUSAN










