Sultan Nazrin hadiri sambutan Deepavali

Sultan Nazrin hadiri sambutan Deepavali

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan sumbangan kepada 70 orang anak yatim daripada lima pusat jagaan di Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Deepavali 2025 peringkat negeri yang diadakan dengan penuh meriah di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Aezer Zubir, bersama barisan Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan.

Sebaik berangkat tiba sekitar pukul 8.40 malam, baginda berdua diiring ke meja santapan diraja bagi menikmati pelbagai juadah istimewa termasuk mee rebus, bihun sup, sambal tumis sotong, puri, prata dan dalca kambing.

Pada majlis berkenaan, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 70 anak yatim daripada beberapa pertubuhan kebajikan antaranya Pusat Jagaan Anak-anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Pertubuhan Pengurusan Pusat Jagaan 1Malaysia Perak, Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Pelangi Perak, Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Yatim Rumah Visi (Vision Home) dan Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Arut Perum Jothy.

Lebih 5,000 pengunjung pelbagai kaum hadir memeriahkan sambutan berkenaan yang turut menampilkan 12 gerai makanan menyediakan pelbagai hidangan seperti nasi vanggey, karipap, apam manis, idli, vadai dan idiyappam, mencerminkan keunikan budaya masyarakat majmuk di negeri ini.

Sementara itu Saarani berkata, sambutan Deepavali bukan sekadar pesta cahaya yang menewaskan kegelapan di luar diri, tetapi membawa mesej mendalam mengenai cahaya yang menundukkan kegelapan dalam hati.

Katanya prasangka, kebencian dan keangkuhan sering menjadi punca perpecahan, manakala fitnah dan kebencian di media sosial kini menular pantas hingga menghakis kepercayaan sesama rakyat.

“Kekuatan sesebuah negeri bukan pada bangunan tinggi atau harta yang banyak, tetapi pada rakyatnya yang berakhlak, berjiwa besar dan saling mempercayai,” katanya.

Beliau menyeru rakyat menjadikan kasih sayang sebagai cahaya dan perpaduan sebagai pelita, agar negeri dan negara terus bersinar dengan kedamaian serta keharmonian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN