PARIS: Scotland menghidupkan semula peluang ke Piala Dunia 2026 selepas bangkit menewaskan Greece 3-1 dalam aksi kelayakan Kumpulan C di Hampden Park, Scotland awal pagi tadi.
Skuad kendalian Steve Clarke ketinggalan menerusi jaringan Kostas Tsimikas pada minit ke-62, namun bangkit hebat hasil jaringan Ryan Christie, Lewis Ferguson dan Lyndon Dykes.
Kemenangan itu menjadi yang kedua dalam tiga perlawanan sekali gus mengekalkan harapan Scotland untuk beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998.
“Ini kemenangan besar, walaupun kami akui tidak bermain pada tahap terbaik. Reaksi selepas ketinggalan 1-0 benar-benar luar biasa.
“Masih ada dua perlawanan penting, satu sudah selesai, kini fokus kepada aksi menentang Belarus Ahad ini,” kata Christie.
Selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan gol penyamaan Christie, Scotland terus meningkatkan tekanan dan mendahului menerusi rembatan Ferguson pada minit ke-80 hasil kekalutan pertahanan Greece.
Penjaga gol Angus Gunn kemudian cemerlang menafikan percubaan lewat pelawat sebelum Dykes memastikan kemenangan hasil kesilapan penjaga gol lawan di masa kecederaan.
Sementara itu, Belanda terus kukuh di puncak Kumpulan G selepas membelasah Malta 4-0 hasil dua sepakan penalti Cody Gakpo, selain mencipta satu bantuan gol buat Tijjani Reijnders dan jaringan lewat Memphis Depay.
Skuad kendalian Ronald Koeman kini mengumpul 13 mata daripada lima perlawanan, tiga mata mengatasi Poland di tangga kedua, manakala Finland di tempat ketiga selepas menewaskan Lithuania 2-1. – AGENSI