PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk menyemak keputusan mahkamah terdahulu yang membenarkan PKR merayu jumlah ganti rugi yang perlu dibayar kepada parti berkenaan kerana melanggar syarat bon.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak permohonan Zuraida dengan alasan kebenaran semakan hanya diberikan jika terdapat keadaan khas dan luar biasa selain mengelakkan ketidakadilan.
Mahkamah turut memerintahkan bekas Ahli Parlimen Ampang yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, membayar kos sebanyak RM50,000 kepada PKR.
Panel turut dianggotai oleh Hakim-Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Pada Jun tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada PKR untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM10 juta kepada RM100,000.
Hakim Rhodzariah berkata, tindakan panel terdahulu meminda draf soalan hanyalah untuk membantu Mahkamah Persekutuan menentukan isu berbangkit sebelum mendengar merit rayuan.
“Pada pandangan kami, pindaan soalan tersebut bertujuan untuk mendapatkan penyelesaian yang tepat bagi rayuan serta sebagai panduan untuk kes-kes akan datang berdasarkan fakta kes ini.
“Dengan memperhalusi soalan asal, ia tidak mengubah secara ketara isu yang dikemukakan di hadapan mahkamah tertinggi dan bukan merupakan satu tindakan melampaui bidang kuasa dalam perkara ini,” katanya.
Terdahulu, peguam, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mewakili Zuraida selaku pemohon menghujahkan, permohonan itu dibuat kerana panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah melanggar prinsip keadilan asasi apabila merumuskan semula soalan-soalan kebenaran merayu dan berlaku situasi berat sebelah.
Bagaimanapun, peguam, Ranjit Singh yang mewakili PKR selaku responden menyatakan bahawa pemohon tidak dapat membuktikan dengan jelas ketidakadilan yang telah berlaku.
“Usul ini tidak mempunyai merit dan asas. Alasan-alasan tersebut jauh daripada keadaan khas atau luar biasa yang diperlukan untuk menggunakan kuasa sedia ada mahkamah untuk menyemak dan membuka semula prosiding selepas penghakiman diberikan bagi membetulkan ketidakadilan,” katanya.
Ranjit memaklumkan pihaknya akan membuat permohonan pengurusan kes bagi tarikh pendengaran rayuan itu, esok.
Pada 11 Disember 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk See Mee Chun mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Zuraida telah melanggar syarat bon parti namun mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada RM100,000.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Jun 2023 yang memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta kepada PKR selepas mendapati bon adalah kontrak yang sah dan mengikat. – UTUSAN










