KUALA LUMPUR: Perolehan kerajaan merupakan antara tiga sektor utama dikenal pasti paling terdedah kepada amalan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, perolehan kerajaan adalah sektor utama paling terdedah kerana sering dikaitkan dengan kartel, projek monopoli dan rasuah berskala besar.
Katanya, sektor penguatkuasaan turut dikenal pasti sebagai berisiko tinggi susulan penglibatan dalam aktiviti penyeludupan, perjudian serta jenayah rentas sempadan.
“Sektor pengurusan dana awam dan peruntukan khas kerajaan turut dikaitkan kerana jika disalah urus boleh menjejaskan polisi, kepentingan rakyat serta menyebabkan ketirisan besar,” katanya ketika berucap dalam Wacana Ilmiah Perdana di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Azam berkata, kesemua sektor terlibat menjadi fokus utama SPRM dalam usaha memperkukuh integriti serta tadbir urus negara.
Katanya, pendekatan berasaskan risiko akan dilaksanakan bagi menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah dalam ketiga-tiga sektor.
“Kejayaan antirasuah amat bergantung kepada kepimpinan yang tegas dan tidak berkompromi dalam memastikan integriti terus diperkasa,” katanya.
Azam berkata, mentaliti masyarakat yang terlalu mengejar kepentingan material bakal mewujudkan pembentukan masyarakat yang berfikiran rasuah atau corrupt minded society.
Katanya, mentaliti itu menjadikan seseorang akan cuba menghalalkan sesuatu perkara demi kelangsungan pembangunan atau keuntungan material mengikut cara yang salah.
“Perkara itu harus dibendung karena pemikiran sedemikian bukan sahaja berbahaya malah mampu merosakkan asas tadbir urus dan integriti dalam negara,” katanya. – UTUSAN










