PETALING JAYA: Kerajaan akan melaksanakan Special Access Pathway (laluan akses khas) untuk memastikan akses bekalan ubat dan peranti perubatan kepada keperluan kritikal dapat diteruskan ketika dunia berdepan kesan krisis Asia Barat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan juga meneliti langkah yang lebih kukuh untuk jangka sederhana dan panjang, termasuk mewujudkan stok penimbal strategik nasional dengan beralih daripada penggunaan bahan mentah resin kepada polimer bagi sesetengah produk.
Selain itu katanya, kerajaan akan membangunkan dasar keterjaminan ubat negara melalui MyMedSecure demi memperkasa industri berkenaan dan peranti perubatan tempatan.
“Gangguan rantaian bekalan global boleh menyebabkan kekurangan bahan mentah penting seperti bahan aktif farmaseutikal (API), petroleum dan gas ethylene oxide, sekali gus menaikkan kos pengilangan serta penghantaran.
“Justeru kerajaan akan memantau stok ubat secara berpusat, mempelbagaikan sumber import dan mengaktifkan pelan gerak balas kecemasan selain menetapkan item tertentu sebagai item kawalan,” katanya dalam Taklimat Krisis Tenaga Global hari ini.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah meneliti langkah untuk mempelbagaikan sumber input bahan api, mengukuhkan
kerjasama strategik dengan negara dagang utama dan memastikan keterjaminan input pengeluaran.
Katanya, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan agensi berkaitan sedang mengambil tindakan ke atas usaha itu.
Pada masa yang sama katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) juga diminta supaya melaksanakan sokongan pembiayaan kepada firma yang terjejas.
Akmal Nasrullah berkata, kerajaan juga akan memastikan keselamatan 31,600 jemaah haji selepas diberi pembentangan mengenai status mereka. – UTUSAN










