PM saran rangka semula strategi misi ke Gaza

PM saran rangka semula strategi misi ke Gaza

ANWAR Ibrahim melawat gerai makan di Bazaria Pantai selain menyantuni wakil-wakil peniaga serta para pengunjung di Pantai Dalam, Kuala Lumpur hari ini.-GAMBAR/PEJABAT PERDANA MENTERI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aktivis yang merancang memulakan pelayaran bagi misi menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza harus berhenti seketika dan memikirkan langkah strategik yang paling penting ketika ini, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahaim berkata, ia bagi mengelak mereka terus ditahan oleh rejim Israel seperti yang berlaku kepada aktivis misi Sumud Flotilla Global (GSF) ketika ini.

“Tentunya mereka (akan) dihalang juga. Tapi saya fikir untuk keadaan sekarang ini dengan kesan (tahanan) itu, mungkin kita berhenti sekejap (misi pelayaran).

“Guna kebijaksanaan kita runding semula, susun semula terutama perjanjian (damai) yang cuba dimeterai.

“Ini pun satu hal orang ada menegur kita. Apa yang penting itu selamatkan nyawa orang. Kita kadang-kadang di sini bercakap seolah-olah kita hero yang tak ada batasnya. Semua mahu jadi pahlawan. Tapi yang bertempur di sana itu, (sudah) mengorbankan 65,000 nyawa (penduduk Palestin),” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah di Pantai Dalam di sini, hari ini.

Anwar berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak ketika ini untuk menyelamatkan rakyat Palestin yang ditindas secara kejam oleh Israel dan menyalurkan bantuan kemanusiaan serta makanan.

“Itu yang penting. Kalau tercapai ia satu babak permulaan yang sangat penting. Sebab itu dalam permulaan perjanjian damai yang digagaskan (Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald) Trump itu tidak memenuhi semua harapan kita.

“Tapi semua negara Arab, Islam nampaknya memberi restu bukan maknanya mereka setuju, tetapi sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan nyawa, harta benda dan melarang memberi ruang bagi rakyat Gaza, jangan diusir keluar dan yang di luar boleh masuk balik.

“Melarang sama sekali apa-apa kemaraan zionis Israel menakluki Gaza, permulaan ini akan terus pantau dan bersuara,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan lapan lagi rakyat Malaysia kini dalam perjalanan ke Gaza melalui jalan laut dalam inisiatif gelombang ketiga Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang berlepas dari Itali, kelmarin.

FFC yang menggabungkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai negara termasuk Malaysia disertai seramai 94 individu melibatkan kru kapal, wartawan tempatan dan antarabangsa, pakar perubatan, Ahli Parlimen, aktivis dan ahli FFC sendiri.

Delegasi Malaysia yang menyertai misi itu adalah Dr. Maziah Mohammad; Prof. Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali; Dr. Fauziah Hassan; Dr. Hafiz Sulaiman; Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi; Syafik Shukri Abdul Jalil; Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh; Dr. Noorhasyimah Ismail dan Norsham Abu Bakar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN