Peruntukan diterima Mindef selari kajian Kertas Putih Pertahanan

Peruntukan diterima Mindef selari kajian Kertas Putih Pertahanan

KHALED Nordin (tengah) melakukan gimik perasmian Majlis Peluncuran Minggu Bersama Pencarum - Jelajah Utara 2025 yang dianjurkan oleh LTAT di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Peruntukan diterima Kementerian Pertahanan (Mindef) selari dengan dapatan kajian separuh penggal Kertas Putih Pertahanan (KPP) khususnya dalam usaha memperkukuh aset dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peningkatan peruntukan sebanyak 2.92 peratus berbanding tahun lalu menjadikan Mindef antara empat kementerian tertinggi menerima peruntukan besar dalam Belanjawan 2026.

Menurut beliau, penambahan itu mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap keperluan memodenkan ATM selaras dengan matlamat untuk membentuk Angkatan Masa Hadapan.

“Kita akui aset ketenteraan sekarang banyak berasaskan teknologi baharu maka peruntukan ini selari dengan dapatan kajian separuh penggal KPP antaranya keperluan tambah baik aset-aset ATM serta kesiapsiagaan menghadapi ancaman tradisional dan bukan tradisional termasuk di Laut China Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Minggu Bersama Pencarum: Jelajah Utara 2025 anjuran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Kem Lapangan Terbang di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, antara keutamaan perolehan baharu ialah sistem pertahanan udara berlapis yang merangkumi Very Short Range Air Defence System (VSHORADS), Short Range Air Defence System (SHORADS) dan Medium Range Air Defence System (MRADS) bagi memastikan keupayaan pertahanan negara pada tahap optimum.

“Kita tidak perlu sistem jarak jauh kerana doktrin pertahanan kita adalah mempertahankan negara sendiri. Kalau beli peluru berpandu 200 atau 300 kilometer (km) kita hendak tembak siapa. Maka kita fokus kepada sistem pertahanan udara yang melindungi ruang negara,” jelasnya.

Beliau berkata, Mindef turut merancang pembelian kapal sokongan pelbagai peranan (multi-role support ship) bagi menggantikan KD Mahawangsa, yang membolehkan operasi logistik dijalankan dalam tempoh panjang tanpa perlu kembali ke pengkalan.

Katanya, belanjawan kali ini juga memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan anggota dan keluarga tentera, termasuk peningkatan peruntukan penyelenggaraan perumahan anggota daripada RM600 juta kepada lebih RM800 juta pada tahun depan.

“Ini penting kerana penyelenggaraan rumah berkait rapat dengan kesejahteraan anggota. Kita mahu mereka dapat membina kehidupan dan memastikan keluarga mereka terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, projek pembinaan kuarters bagi Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan sebagai persediaan menerima 18 buah pesawat pejuang FA-50M buatan Korea Selatan yang dijangka diterima secara berperingkat mulai awal 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN