Pelaksanaan telus, pastikan manfaat sampai

Pelaksanaan telus, pastikan manfaat sampai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memastikan pelaksanaan Belanjawan 2026 dilakukan secara telus, tersusun dan berkesan supaya manfaatnya sampai kepada usahawan bumiputera di semua peringkat.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Mohd. Azamanizam Baharon berkata, Belanjawan 2026 dilihat mampu memperkukuh agenda ekonomi bumiputera.

“Belanjawan itu bukan sekadar angka besar di atas kertas, sebaliknya membawa makna strategik sebagai tonggak pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan penanda aras kepada pencapaian bumiputera hingga 2035, selaras dengan Dasar Kemakmuran Negara 2030 (DKN2030) serta Pelan Tindakan Ekonomi Bumiputera (PuTERA35).

“Kami juga melihat komitmen kerajaan dalam memastikan kedudukan ekonomi bumiputera berada di landasan betul. Namun, pelaksanaannya mesti telus dan dipantau secara berkala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azamanizam berkata, peruntukan RM10 bilion menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menjamin pembiayaan usahawan bumiputera, selain pelbagai inisiatif lain yang memperkukuh daya saing syarikat tempatan.

Katanya, antara peruntukan penting lain seperti RM2.4 bilion bagi kontraktor Bumiputera G1 hingga G4, RM200 juta untuk Program Jaguh Serantau di bawah SME Bank dan RM100 juta bagi Program Penskalaan Usahawan MARA.

Ujarnya, semua inisiatif itu berpotensi besar meningkatkan daya saing serta penyertaan strategik usahawan bumiputera dalam rantaian ekonomi negara, sekiranya dilaksanakan dengan pemantauan jelas dan terbuka.

“Transformasi sebenar bukan sekadar retorik. Ia mesti disusun mengikut cabaran sebenar di lapangan termasuk akses modal, inkubasi, teknologi, pasaran dan bimbingan berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN