PBB puji peranan Malaysia pacu keamanan serantau

PBB puji peranan Malaysia pacu keamanan serantau

ANTONIO GUTERRES 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memuji peranan Malaysia sebagai pemudah cara perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang disifatkan sebagai contoh jelas komitmen terhadap penyelesaian konflik secara aman di rantau ini.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, usaha diplomatik diterajui Malaysia itu menunjukkan kemampuan negara memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan dan keamanan serantau dapat dikekalkan.

“Saya memuji peranan Malaysia dalam memudah cara perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand. Ia satu contoh penyelesaian pertikaian secara aman.

“Asia Tenggara kini berada di barisan hadapan dunia dan ASEAN kekal sebagai lambang kerjasama serantau sejak hampir enam dekad lalu,” katanya ketika berucap pada upacara pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-15 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Guterres berkata, reformasi besar-besaran terhadap sistem kewangan antarabangsa perlu ditekankan agar lebih adil dan mencerminkan realiti ekonomi semasa.

Katanya, jurang ketidaksamaan semakin melebar, hutang semakin menjerut negara-negara membangun dan jaringan keselamatan kewangan global semakin rapuh.

“Institusi kewangan global perlu mencerminkan dunia hari ini dengan penyertaan yang lebih besar daripada negara membangun. Negara-negara ASEAN jelas kurang diwakili berbanding sumbangan sebenar mereka terhadap ekonomi global,” katanya.

Guterres berkata, sistem kewangan sedia ada tidak lagi mampu berfungsi sebagai jaringan keselamatan yang berkesan dan reformasi menyeluruh amat diperlukan bagi memastikan keadilan kewangan sejagat.

Beliau turut menyifatkan ASEAN sebagai tonggak penting kepada dunia yang banyak kuasa besar serta saling berkongsi pengaruh dan tanggungjawab global.

“Dunia yang menolak keputusan unilateral dan mengutamakan keseimbangan serta kerjasama antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN