PETALING JAYA: Paras air di beberapa sungai utama di Selangor, Perak dan Pahang menunjukkan trend peningkatan susulan hujan berterusan, lantas menimbulkan kebimbangan kawasan rendah dinaiki air.
Antara kawasan yang dikenal pasti berisiko ialah Hulu Langat, Selangor; Kinta, Perak dan Temerloh, Pahang yang kini diletakkan di bawah pemantauan berterusan berikutan bacaan paras air sungai semakin meningkat di beberapa stesen hidrologi utama.
Menurut portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di beberapa sungai utama berada pada tahap waspada, manakala bacaan di beberapa anak sungai turut menunjukkan peningkatan berikutan hujan yang masih turun di beberapa kawasan pedalaman.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) melaporkan tiada amaran hujan berterusan dikeluarkan di seluruh negara setakat ini.
Namun, amaran ribut petir dikeluarkan melibatkan beberapa kawasan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dijangka berterusan sehingga lewat petang.
Menurut buletin cuaca bulanan yang dikeluarkan MetMalaysia, keadaan atmosfera ketika ini masih dipengaruhi oleh peralihan angin monsun yang berpotensi membawa hujan lebat berserta kilat secara setempat pada waktu petang atau malam.
Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) diingatkan untuk meningkatkan kesiapsiagaan termasuk memantau sistem saliran serta menyiapkan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Penduduk di kawasan berisiko juga dinasihatkan agar peka terhadap amaran cuaca semasa, mengelak aktiviti berhampiran sungai dan segera berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat sahih dan terkini mengenai paras air serta ramalan cuaca melalui portal rasmi MetMalaysia dan Info Banjir bagi mengelakkan sebarang kekeliruan maklumat di media sosial. – UTUSAN










