JAKARTA: Rombongan 61 pelajar yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta petang khamis lalu sebenarnya diuruskan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) beribu pejabat di Jalan Bukit Bintang Kuala Lumpur dan bukannya dari mana-mana ejen pelancongan tempatan di sini.
Ejen pelancongan milik rakyat Malaysia berpengkalan di Jakarta, Steve Bligh berkata, NGO terbabit sebenarnya tidak langsung melantik ejen pelancongan tempatan untuk menguruskan rombongan tersebut sepanjang empat hari berada di sini.
Menurutnya, beliau membantu menguruskan rombongan yang terkandas lebih tiga jam di lapangan terbang berkenaan selepas menerima panggilan daripada pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Republik Indonesia.
“Saya diminta membantu menguruskan pengangkutan dan menyediakan penginapan memandangkan rombongan terdiri daripada pelajar dua buah sekolah itu terkandas lebih tiga jam tanpa ada pihak menguruskannya.
“Saya tiba di lapangan terbang berkenaan dan menyediakan dua buah bas serta menempah 35 bilik penginapan di sebuah hotel di Jakarta Pusat dan kesemua mereka memasuki bilik kira-kira pukul 7.00 malam.
“Pihak kedutaan memaklumkan Presiden NGO terbabit bergelar ‘Datin’ akan menghubungi saya bagi menyelesaikan semua urusan sepanjang empat hari serta akan membayar apa sahaja kos,” ujarnya ketika ditemui di Hotel Borobudur di sini malam tadi.
Mengulas lanjut Steve berkata, hasil perbincangan, Datin berkenaan berjanji akan datang ke Jakarta dan menjelaskan beyaran segala kos bagi menguruskan rombongan tersebut.
Jelasnya, beliau telah menempah 35 bilik dari 23 hingga 26 Oktober serta menyediakan pengangkutan untuk membawa pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kapar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Selasih, Gombak ke beberapa lokasi lawatan seperti Tugu Monas dan Muzium.
Selain itu beliau berkata, Presiden NGO tersebut turut memintanya membayarkan tiket masuk ke muzium dan Tugu Monas.
“Saya telah memaklumkan kepada Datin berkenaan mengenai keseluruhan kos penginapan, pengangkutan dan lain-lain berjumlah RM21,500,” katanya lagi.
Jelasnya, presiden NGO itu berjanji akan datang ke Jakarta bagi melunaskan semua kos yang telah digunakan untuk mengurus rombongan dari tiba hingga balik pada Ahad.
“Namun sehingga semalam (Sabtu) Datin berkenaan tidak datang ke Jakarta seperti yang dijanjikan dan dia hanya menjelaskan bayaran sebanyak RM200 daripada kos berjumlah RM21,500 yang saya minta berdasarkan invois yang telah diberikan,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau telah memaklumkan perkara itu kepada pihak kedutaan yang melahirkan rasa kesal serta berjanji untuk menyelesaikan masalah tersebut. – UTUSAN










