KANGAR: Seorang lelaki direman empat hari bermula hari ini sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan penemuan 205 butir peluru hidup pelbagai jenis tanpa permit sah pada awal bulan ini.
Perintah reman ke atas lelaki berusia 49 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah, Rashidah Azmi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek ditahan semasa serbuan sekitar pukul 5.30 pagi pada 5 Julai lalu di sebuah unit kediaman di pangsapuri Terinai, di sini, hasil maklumat daripada laporan di balai polis Beseri.
“Hasil serbuan telah membawa kepada penemuan sebuah kotak hitam tertera Opsmen Earmor yang disembunyikan di bahagian bawah almari.
“Siasatan mendapati di dalam kotak itu terdapat tiga kotak kecil bertulis Eley Tenex .22 Rimfire Long Rifle, yang mana dua daripadanya mengandungi 50 butir peluru manakala sekotak lagi berisi 48 butir peluru,” katanya di sini hari ini.
Yusharifuddin berkata, hasil pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penemuan 39 butir peluru jenis SME Ordnance 9mm ball di dalam kotak lutsinar serta 18 butir peluru 5.56mm Ball M193 di dalam sebuah kotak lain.
Katanya, penemuan semua amunisi itu menjadikan jumlah keseluruhan peluru hidup yang dirampas adalah sebanyak 205 butir.
“Suspek yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang kini ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti motif pemilikan amunisi tersebut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.-UTUSAN










