KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis penyerahan bendera Malaysia dan Perlis kepada Nur Raisya Adelya Sofea Suwardi,11, yang telah terpilih mewakili Malaysia ke-32nd World Children’s Baseball Fair 2026 dalam satu majlis di perkarangan Astaka Dataran Masjid Alwi di sini hari ini.
Nur Raisya dari Sekolah Kebangsaan (SK) Paya menyertai kejohanan yang berlangsung di Bandar Narita, Wilayah Chiba, Jepun dari 30 Julai hingga 7 Ogos depan.
Majlis penyerahan bendera oleh Tuanku Syed Faizuddin yang juga merupakan Penaung Persekutuan Besbol Malaysia itu menjadi simbol penghargaan dan sokongan kepada Nur Raisya
yang bakal membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.
Selain itu, ia juga menyuntik semangat serta keyakinan kepada kanak-kanak berkenaan untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.
Pada majlis sama, Nur Raisya turut menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM500 daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sebagai tanda galakan dan sokongan terhadap usahanya mengharumkan nama negeri dan negara.
Nur Raisya merupakan antara lima peserta yang dipilih mewakili Malaysia ke kejohanan berprestij itu, sekali gus membuktikan bakat, potensi serta kemampuan atlet muda negara untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Pemilihan Nur Raisya bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada keluarga dan SK Paya, malah turut mengangkat nama Perlis sebagai negeri yang berjaya melahirkan atlet muda berbakat sehingga diberi kepercayaan mewakili Malaysia di pentas dunia.
Kejayaan tersebut mencerminkan hasil usaha gigih, disiplin dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Nur Raisya dalam bidang sukan, di samping membuktikan bahawa anak-anak Perlis mampu mencipta kecemerlangan apabila diberikan peluang, bimbingan dan sokongan.
Penyertaan Nur Raisya ke-32nd World Children’s Baseball Fair 2026 diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar dan atlet muda untuk terus berusaha mengejar kecemerlangan serta berani membawa nama Perlis dan Malaysia ke persada antarabangsa.
Sebagai rekod, hanya 14 buah negara telah dipilih menyertai kejohanan tersebut dan Malaysia diberi penghormatan menghantar lima atlet.-UTUSAN










