EU mahu bank lebih besar untuk saingi AS

EU mahu bank lebih besar untuk saingi AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) mesti mempunyai bank yang lebih besar jika blok 27 negara itu mahu menyaingi pesaingnya di Amerika Syarikat (AS).

EU menerbitkan satu laporan mengenai sektor perbankan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan ekonomi Eropah dengan membuka lebih banyak akses kepada pembiayaan untuk pelbagai industri.

Brussels dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya mahu melonggarkan beberapa peraturan bagi sektor perbankan Eropah, termasuk mengurangkan keperluan modal.

Selepas krisis kewangan global pada 2007-2008, sebuah badan penyeliaan perbankan antarabangsa utama yang dikenali sebagai Jawatankuasa Basel menetapkan piawaian global baharu bagi memastikan kestabilan sistem perbankan.

Bagaimanapun, bank-bank Eropah sejak sekian lama mengkritik pelaksanaan peraturan berkenaan oleh EU yang disifatkan terlalu ketat.

Mereka mendakwa langkah itu meletakkan mereka pada kedudukan kurang kompetitif berbanding bank asing kerana perlu mematuhi peraturan tambahan selain peraturan nasional.

Bank-bank tersebut berhujah keadaan itu menjejaskan keupayaan mereka untuk membiayai ekonomi Eropah.

Pengawal selia kewangan AS turut mencadangkan pelonggaran beberapa peraturan berkaitan keperluan modal pada awal tahun ini.

Seorang pegawai kanan Eropah berkata, EU tidak berhasrat untuk melemahkan peraturan tersebut, sebaliknya mahu melaksanakannya dengan cara mengoptimumkan manfaat kepada ekonomi EU.

“Bank-bank Eropah perlu diberi peluang untuk berkembang dalam pasaran domestik mereka seperti yang dilakukan oleh bank-bank di AS,” katanya.

Bagaimanapun, pertubuhan bukan kerajaan Finance Watch berkata EU mempunyai diagnosis yang betul, tetapi penyelesaian yang salah.

“Mengurangkan keperluan modal akan memberi ruang sementara kepada bank dari segi kunci kira-kira mereka. Namun, ia tidak bermakna lebih banyak pelaburan produktif dalam ekonomi, sebaliknya boleh melemahkan keupayaan pinjaman bank pada masa depan,” kata Julia Symon daripada Finance Watch dalam satu kenyataan.

Pesuruhjaya Perkhidmatan Kewangan EU, Maria Luis Albuquerque, memberitahu wartawan bahawa sektor perbankan Eropah masih terlalu berpecah mengikut sempadan negara, sekali gus menghalang bank-bank daripada mencapai saiz yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global.

Eksekutif EU akan mencadangkan peraturan perbankan baharu pada separuh pertama tahun 2027.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN