KANGAR: Tiga pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di negeri ini direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes buli.
Perintah remah ke atas remaja lelaki berusia 13 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah, Rashidah Azmi bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan/507B Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, mangsa telah memaklumkan kepada pengadu iaitu ibunya bahawa telah dibuli sejak beberapa bulan lepas.
Katanya, tiga pelajar yang didakwa terlibat itu telah membuli mangsa dengan menendang, memukul, membaling dua buah tong sampah besar di bahagian badan dan kepala serta turut meludah anak pengadu.
“Semua pelajar tersebut turut didakwa memeras ugut dengan meminta wang belanja anak pengadu. Pengadu bimbang keselamatan anaknya dan hadir ke balai membuat satu laporan polis pada Khamis lalu,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pada Khamis lalu, ibu mangsa juga memaklumkan telah dihubungi guru kelas anak lelakinya berusia 13 tahun itu dan memberitahu remaja berkenaan tergelincir dan jatuh ketika hendak masuk ke kelas sehingga menyebabkannya tidak dapat berjalan.
“Sekitar pukul 1 tengah hari, pengadu telah mengambil anaknya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan dimaklumkan telah mengalami keretakan di bahagian buku lali kaki sebelah kiri. Doktor menyatakan bahawa anak pengadu telah jatuh sehingga menyebabkan buku lali kiri retak,” katanya.
Yusharifuddin berkata, hasil keterangan pengadu menerusi siasatan dijalankan mendapati anaknya itu tergelincir dan jatuh semasa hendak masuk ke kelas.
Katanya, mangsa menyatakan pernah dibuli namun kejadian itu sudah lama sehingga menyebabkan dia merasa takut dan trauma untuk menceritakan lebih lanjut berikutan bimbangkan keselamatannya.
“Mangsa juga tidak pernah memaklumkan kejadian ini kepada pihak sekolah dan hanya menceritakan kepada pengadu. Berikutan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan / 507B Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN










